News & Articles Anthea kediaman mewah tawar seni bina luar biasa

Anthea kediaman mewah tawar seni bina luar biasa


16 Oct 2024
Anthea kediaman mewah tawar seni bina luar biasa
KUALA LUMPUR: Anthea, projek kediaman mewah di perbandaran IJM Rimbayu tampil dengan seni bina luar biasa yang memperkayakan kehidupan lestari moden dengan mematuhi standard alam sekitar tinggi serta menawarkan manfaat ekologi jangka panjang.

Setiap kediaman dibina menggunakan bahan binaan hijau yang diperakui, menggabungkan komponen mesra alam terkini.

Penyediaan kelengkapan bilik air yang menggunakan kaedah cekap air dan penggunaan cat VOC rendah pula bukan saja mengurangkan kos utiliti, malah meningkatkan kualiti udara dalam kediaman, mencerminkan keutamaan IJM Land Bhd terhadap kesihatan serta kehidupan yang bersih.

Panel solar fotovoltaik (PV) turut dipasang untuk unit semi-D, menjadi inisiatif yang dapat meningkatkan lagi kecekapan tenaga dan kelestarian dalam setiap unit kediaman itu.

Selain itu, reka bentuk landskap turut menyokong elemen biodiversiti dengan menawarkan ruang yang lengkap untuk memperkasakan komuniti, sekali gus dapat menyumbang kepada keseimbangan ekologi.

Pembangunan eksklusif Anthea meliputi kawasan seluas 8.4 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM380 juta dan menawarkan 180 kediaman yang direka unik, termasuk 90 unit Superlink dan 90 unit Semi-D.


Dengan harga bermula daripada RM1.5 juta hingga RM2.6 juta, Anthea adalah salah satu daripada tiga parcel terakhir bagi pembangunan kediaman mewah di IJM Rimbayu.

Pengurus Besar Kanan IJM Land, Datuk Chai Kian Soon, berkata Anthea diinspirasikan daripada simbol Yunani kuno yang melambangkan keserian, pertumbuhan, keagungan dan tenaga alam yang penuh semangat.

Beliau berkata, konsep itu terjalin dalam reka bentuk Anthea, mewujudkan kediaman di mana keselesaan moden tidak menjejaskan keindahan alam semula jadi, tetapi mekar harmoni bersama-sama.

"Daripada seni bina canggih hinggalah landskap menghijau dan menyamankan, setiap aspek yang ditonjolkan Anthea bagaikan meraikan hubungan harmoni antara kehidupan kontemporari dan alam semula jadi, sekali gus bakal melengkapkan penghuni yang inginkan kehidupan dalam dakapan alam," katanya.

Kediaman di Anthea menawarkan pelbagai reka bentuk yang direka khas untuk memenuhi selera dan gaya hidup bandar yang berbeza.

Bagi unit Superlink, ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Jenis A dan Jenis B di mana kedua-dua pilihan itu direka dengan dimensi 24' x 80', memberikan ruang yang luas serta fleksibiliti yang terbaik.

Bagi Jenis A, unit itu mempunyai keluasan antara 2,886 hingga 3,071 kaki persegi, termasuk tiga bilik tidur yang dilengkapi bilik mandi en-suite dan sebuah bilik tetamu berserta taman persendirian di bahagian belakang.

Unit berkenaan juga dilengkapi dengan panel tingkap kaca elegan dan pintu gelongsor, yang membolehkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi memenuhi ruang kediaman dengan lebih cekap.

Bagi Jenis B pula, unit yang tampil dengan keluasan dari 2,992 kaki persegi hingga 3,237 kaki persegi itu menawarkan konsep dua bilik tidur utama, ruang tamu menghadap taman hijau yang subur, serta sentuhan yang serba mewah.

Kedua-dua varian itu juga dilengkapi dengan kemudahan kenderaan elektrik (EV) serta kemasan terbaik, menggabungkan unsur kemewahan, kepenggunaan, dan kelestarian dalam satu rekaan yang harmoni.

Bagi unit Semi-D yang berukuran 40' x 80' dengan keluasan 3,408 kaki persegi, kediaman itu menawarkan pengalaman hidup sempurna dengan empat bilik tidur yang luas, masing-masing dilengkapi dengan bilik mandi en-suite.

Suite utama menawarkan suasana seakan spa dengan tab mandi dan sinki berkembar.

Menjengah ke bahagian dalam, ia dilengkapi dengan lantai kayu kukuh yang menonjolkan aspek kehalusan dan kehangatan rekaan, sementara pengaruh halaman bertekstur dan rel kaca premium menambahkan lagi daya sentuhan serba mewah.

Direka dengan sudut hadapan seperti banglo, kediaman semi-D itu turut dilengkapi dengan bilik solek dan ruang penghantaran bungkusan, meningkatkan lagi kemudahan dan komitmen Anthea dalam mengharmonikan keanggunan dan kehidupan moden.

Penghuni di Anthea turut menikmati kemudahan akses eksklusif dalam pembangunan ini termasuk dewan serbaguna untuk menganjurkan acara komuniti, gimnasium lengkap bagi mereka yang mementingkan kecergasan dan surau untuk penghuni serta pelawat beragama Islam.

Anthea yang terletak bersebelahan dengan The Club @ IJM Rimbayu, menawarkan penghuni akses kepada pelbagai kemudahan bertaraf premium.

Ia termasuk kolam renang bersaiz Olimpik, gelanggang badminton dan skuasy, gimnasium canggih, sauna dan bilik karaoke.

Sebagai manfaat tambahan, pembeli rumah Anthea akan menerima keahlian percuma untuk dua orang dewasa selama 24 bulan bagi mengakses kemudahan di The Club.

Lokasi utama pembangunan itu menawarkan pelbagai kemudahan, perkhidmatan dan tarikan seperti The Arc, Blossom Shoplots dan Oasis International School.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • BRDB buys Selangor Properties’ prime Jalan Semantan land

  • Anthea kediaman mewah tawar seni bina luar biasa

  • BCB acquires 54.7-acre Kluang land for RM31m

  • Eupe tumpu perumahan mampu milik penuhi keperluan pembeli

  • S P SETIA SHIFTS FOCUS TO GREEN INDUSTRIAL ESTATE, STRENGTHENS SUSTAINABILITY FRAMEWORK