News & Articles Bandar Rimbawan projek terbaharu LBS di Genting Highlands

Bandar Rimbawan projek terbaharu LBS di Genting Highlands


17 Oct 2024
Bandar Rimbawan projek terbaharu LBS di Genting Highlands
GENTING HIGHLANDS: Pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Bhd (LBS) memperkenalkan projek terbaharunya, perbandaran mesra hijau Bandar Rimbawan yang dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM9.5 bilion.

Pembangunan yang terletak di Genting Highlands, Pahang itu mempunyai keluasan 315 ekar (127.47 hektar) dan dibahagikan secara strategik kepada empat zon yang berbeza iaitu EcoCommunity, EcoCommercial, EcoDiscovery dan EcoPlay.

Pada ketinggian 821 meter dari paras laut, Bandar Rimbawan dirancang dengan teliti untuk mengintegrasikan masyarakat dengan ekosistem setempat, sungai dan air terjun menjadi tulang belakang utama bandar ini yang mana Rimbawan direka serta dibangunkan dengan mengambil kira unsur semulajadi.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr Lim Hock San, berkata pihaknya percaya bahawa kemajuan sebenar tidak hanya terhad kepada memenuhi keperluan hari ini, tetapi juga membabitkan keputusan yang memastikan kesejahteraan masa depan.


"Dengan cabaran alam sekitar global, adalah penting untuk kita memikirkan semula kesemua aspek termasuk pembinaan, gaya hidup serta cara berinteraksi dengan alam semula jadi.

"Kelestarian teras strategi bagi pembangunan LBS dan Bandar Rimbawan adalah projek yang benar-benar mencerminkan komitmen LBS untuk membina secara bertanggungjawab demi masa depan," katanya pada majlis pelancaran Bandar Rimbawan dan Bayu Hills di sini, hari ini.


Beliau berkata, sebagai pemaju, LBS bukan hanya sekadar membina bangunan, tetapi turut mengggalas tanggungjawab untuk membentuk masyarakat dan persekitaran yang akan menjadi rumah bagi generasi akan datang.

"Komitmen LBS, yang baru-baru ini diiktiraf sebagai 'Syarikat Pengurus Terbaik' oleh Deloitte untuk tahun ketiga berturut-turut, berkait rapat dengan tumpuan kami terhadap prinsip persekitaran, sosial, dan urus tadbir (ESG).

"Projek ini mencerminkan dedikasi LBS terhadap pembangunan lestari, menunjukkan bagaimana kami mengintegrasikan pemuliharaan alam, kesejahteraan komuniti dan urus tadbir yang beretika dalam setiap aspek operasi," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya projek ini juga melambangkan komitmen teguh LBS terhadap mengimbangi pemajuan dan pemuliharaan, dengan melaksanakan penanaman semula hutan yang berkesan melalui Kaedah Miyawaki123 untuk memperkukuh biodiversiti dan menggalakkan pertumbuhan semula jadi.

Bagi memastikan biodiversiti ekosistem setempat terjaga, koridor hijau dibina merentasi seluruh bandar, yang turut menjadi laluan semula jadi bagi spesis flora dan fauna di kawasan hijau yang dipelihara.

Selain itu, solusi ini turut menggabungkan ciri-ciri 'sponge city' yang membolehkan penanaman pokok tempatan yang berkepadatan tinggi untuk menggalakkan pertumbuhan sistem akar yang kukuh, di samping memperbaiki struktur tanah dan meningkatkan kapasiti penyerapan air hujan dengan signifikan.

Bandar Rimbawan turut dilengkapi dengan rangkaian laluan serapan tinggi yang direka untuk memudahkan penyerapan air hujan, ciri-ciri ini berfungsi secara sinergi untuk menjadikan Rimbawan sebagai 'sponge city' yang berupaya mengurangkan risiko banjir secara berkesan.

Terletak di lokasi yang strategik berhampiran dengan kemudahan dan tarikan utama, Rimbawan menawarkan penduduknya gaya hidup yang dinamik di dalam suasana penuh ketenangan.

Pembangunan unik oleh LBS ini menetapkan penanda aras baharu untuk kehidupan di kawasan tinggi dan menggabungkan keindahan landskap semula jadi dengan suntikan elemen moden yang canggih, sekali gus mempromosikan gaya hidup lestari dan seimbang untuk penduduknya.

Seiring dengan pelancaran Bandar Rimbawan, LBS turut memperkenalkan projek kediaman bertingkat pertamanya, pangsapuri servis Bayu Hills, sebagai sebahagian daripada perbandaran yang menitikberatkan alam sekitar ini, penduduk Bayu Hills akan menikmati kemudahan yang dirancang secara khusus, serta keindahan Bandar Rimbawan yang direka dengan teliti.

Sempena pelancaran itu, bagi 100 pelanggan terawal yang membuat tempahan, LBS menawarkan promosi eksklusif.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • 2025 Budget: Reintroducting HOC could strengthen the property sector

  • Bandar Rimbawan projek terbaharu LBS di Genting Highlands

  • BRDB buys Selangor Properties’ prime Jalan Semantan land

  • Anthea kediaman mewah tawar seni bina luar biasa

  • BCB acquires 54.7-acre Kluang land for RM31m