News & Articles M K Land siapkan kompleks pasar RM8 juta di Bukit Beruntung

M K Land siapkan kompleks pasar RM8 juta di Bukit Beruntung


5 Nov 2024
M K Land siapkan kompleks pasar RM8 juta di Bukit Beruntung
BUKIT BERUNTUNG: M K Land Holdings Bhd (M K Land) menyerahkan Kompleks Pasar, Gerai dan Tapak Penjaja yang siap dibangunkan di Taman Bunga Raya di sini kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Kompleks yang mula dibina pada Februari 2023 dan siap pada 8 September lalu itu menelan kos lebih RM8 juta.

Dibangunkan di atas tanah seluas 1.21 hektar, ia meliputi bangunan gerai dengan keluasan 7,059 kaki persegi yang menempatkan 16 unit gerai berkeluasan 105 kaki persegi setiap satu, serta dilengkapi laman tengah, bilik penyelia, bilik pengumpulan sampah, surau, dan kemudahan tandas.

Bangunan pasar besar pula meliputi keluasan 10,314 kaki persegi, dengan 20 lot kecil berkeluasan 140 kaki persegi setiap satu, serta bilik penyelia, bilik stor, bilik pengumpulan sampah, surau, dan tandas.

Pemaju hartanah itu turut menyediakan 130 lot dalam kawasan kompleks untuk peniaga penjaja, dalam usaha untuk menyokong perniagaan kecil vendor-vendor tempatan di kawasan perbandaran terbabit.

Kompleks itu dijangka mampu memuatkan sehingga 700 pengunjung dalam satu masa dan menyediakan 67 tempat letak kereta.


Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi, berkata penyerahan kompleks itu menandakan komitmen teguh kumpulan dalam membina komuniti yang lestari.

Katanya, ia juga mencerminkan kepercayaan asas mereka bahawa pembangunan hartanah bukan hanya mengenai membina rumah dan perbandaran.

"Kami melihatnya sebagai tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong kegiatan ekonomi setempat, budaya, dan ikatan kemasyarakatan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan sekalung ucapan penghargaan dan terima kasih kepada MPHS atas kerjasama yang telah sekian lama terjalin, seawal projek pertama kami di Taman Bunga Raya ini pada 1996.

"Oleh itu, besar harapan kami supaya kerjasama baik ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun yang mendatang, untuk manfaat dan kesejahteraan komuniti di perbandaran Taman Bunga Raya ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kompleks itu kepada MPHS di sini, hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahmad Soalahuddin kepada Timbalan Yang Dipertua MPHS, Awaluddin Zakaria.

Terletak dalam perbandaran Taman Bunga Raya, kemudahan baharu itu menambah lagi infrastruktur berpusatkan komuniti yang telah dibangunkan sejak perbandaran ini dibangunkan pada 1996.

Direka untuk menawarkan keseimbangan antara perumahan kos rendah, kos sederhana, dan pasaran terbuka, Taman Bunga Raya kini didiami oleh lebih kurang 45,000 penduduk, dengan kapasiti jangkaan untuk menampung sehingga 70,000 penduduk apabila pembangunan selesai sepenuhnya.

Pembinaan kompleks itu menggabungkan seni bina moden kontemporari dengan ruang terbuka yang luas, bagi memudahkan operasi penyelenggaraan serta memberikan aksesibiliti dan pengalaman pengguna yang lebih baik di kompleks ini secara keseluruhannya.

Susun atur lot perniagaan ini juga telah diatur secara strategik bagi memudahkan operasi harian peniaga serta penyelenggaraan jangka panjang oleh MPHS.

Konsep terbuka yang luas membolehkan penggunaan yang efisien dan memastikan aksesibiliti, seterusnya meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.

Ahmad Soalahuddin menambah, projek ini adalah salah satu usaha jangka panjang kumpulan di bawah objektif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan menyediakan kemudahan perbandaran lengkap yang tidak memerlukan komuniti di kawasan perbandaran ini memandu jauh bagi membeli barangan basah dan runcit, sekali gus mengurangkan impak pelepasan karbon terhadap alam sekitar.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Malaysia’s first-ever auction carnival happening on Nov 21 in KL

  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual