News & Articles Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor


7 Nov 2024
Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor
JOHOR BAHRU: Tropicana memperkenalkan 'permata' terbaharunya di Johor, perbandaran bernilai berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard seluas 163 ekar.

Pembangunan bercampur pegangan bebas ini bersedia untuk menjadi masa depan kehidupan moden, menawarkan yang terbaik dari segi sambungan dan kehidupan bandar pintar yang mampan.

Untuk menandakan permulaan pembangunan mega ini, Tropicana mengadakan satu majlis pecah tanah rasmi dengan kontraktor utamanya, China State Construction Engineering Corporation (CSCEC) untuk kediaman berjenama fasa pertamanya dengan Banyan Group, Skypark Kepler.

CSCEC ialah peneraju global dalam pembinaan dan pembangunan dengan operasi di lebih 100 negara, membawa pengalaman luas dalam projek pembinaan berskala besar.

Terletak secara strategik di atas tanah tebus guna premium di sepanjang dermaga bersempadan dengan Singapura, Lido Waterfront Boulevard menampilkan perkongsian kediaman pertama dengan Banyan Group untuk membina Skypark Kepler, pangsapuri perkhidmatan mewah yang terletak dalam persekitarankawasan tropika.

Lido Waterfront Boulevard menjadi lokasi kepada tujuh komponen utama iaitu kediaman, komersial, kesihatan, pendidikan, hospitaliti, rekreasi dan tawaran gaya hidup lain, yang merupakan antara sektor dipromosikan oleh Johor.


Ketua Pegawai Eksekutif Tropicana, Ong Chou Wen, menzahirkan kegembiraannya meraikan peristiwa penting itu dengan berkata, Johor sedang mengalami fasa pertumbuhan yang dipercepatkan dan Tropicana berhasrat untuk memanfaatkan potensi besar ini dengan mengubah Lido Waterfront Boulevard menjadi metropolis dinamik di wilayah selatan.

"Lido Waterfront Boulevard adalah salah satu projek kami yang paling mewah di Johor dan pelan induk yang mengagumkan ini akan menjadi nadi baharu pusat bandar raya Johor yang berdekatan, kira-kira tujuh hingga 10 minit pemanduan, ke RTS Link.

"Kami bangga dapat bekerjasama dengan syarikat global seperti CSCEC dan Banyan Group. Bersama-sama dengan kepakaran dan sokongan mereka, ia akan meningkatkan pertumbuhan kami yang bercita-cita tinggi di Johor," katanya dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa bulan lalu, pemaju hartanah itu mengumumkan banyak berita positif, daripada kejayaan penjualan tanah Johor bernilai RM383 juta kepada NTT Data Group dan urus niaga tanah RM240 juta dengan Z Data Group dan pengumuman kadar pengambilan 100 peratus bagi Edelweiss Serviced Residences, SOFO dan Shoppes di Lembah Klang.

Tropicana terus mengalu-alukan lebih ramai rakan kongsi yang berfikiran sama untuk menyumbang kepada pertumbuhan ketara di seluruh Malaysia.

Ia mempunyai lebih 728 ekar simpanan tanah premium di Johor dan akan terus membina perbandaran mampan serta mencari rakan kongsi strategik untuk bersama-sama membangunkan bidang tanah terbabit.

Dengan jualan tinggi yang belum dibilkan sebanyak RM2.3 bilion, Tropicana akan meneruskan usaha untuk mengukuhkan kehadiran pasaran dan meningkatkan pendapatannya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Influx of MNCs boost Kuala Lumpur's office market competitiveness: Knight Frank

  • Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

  • REHDA warns against restrictions on property purchases, citing potential harm to housing market

  • Alfa Bangsar dinobat projek pembangunan mesra alam terbaik Malaysia

  • Premier De Muara hands over keys to buyers of Picasso Residence's Tower A