Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd, Futuprop Sdn Bhd memeterai usaha sama (JV) merangkap perjanjian pemegang saham (JVSHA) dengan Aspen Vision Development Sdn Bhd bagi menjalankan pembangunan bercampur di atas tanah seluas 33.52 hektar di Pulau Pinang, melalui Rivanis Ventures Sdn Bhd.
Firma pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, Rivanis Ventures merupakan syarikat tujuan khas yang diperbadankan bagi tujuan JV berkenaan.
Katanya, Kerjaya Prospek memegang 55 peratus kepentingan dalam Rivanis Ventures manakala Aspen Vision memegang baki 45 peratus yang akan mengetuai pembangunan tersebut.
Kumpulan itu berkata, berhubung cadangan pembangunan yang terdiri daripada 338 unit rumah mampu milik, 1,680 unit kediaman, 1,680 pangsapuri perkhidmatan dan kedai runcit serta pejabat komersial, Rivanis Ventures turut memeterai perjanjian (HOA) dengan pemilik tanah, Perbadanan Aset Keretapi.
Ia berkata, sebagai pertimbangan untuk penjualan tanah itu bagi menjalankan pembangunan, sebanyak RM156.5 juta akan diberikan kepada pemilik tanah yang merangkumi RM54.1 juta dalam bentuk tunai.
Turut diberikan kepada pemilik tanah adalah 338 unit rumah mampu milik mengikut spesifikasi kategori C3 rumah mampu milik yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, bernilai RM102.4 juta.
"Kemudian, sebagai fasa seterusnya kepada pembangunan ini, Rivanis Ventures akan diberikan hak untuk memperoleh penawaran terlebih dahulu (ROFR) bagi membangunkan tanah bersebelahan seluas 7.96 hektar," katanya.
Tanpa sebarang situasi yang tidak dijangka, JVSHA dan HOA dijangka diselesaikan dalam tempoh 60 hari dari tarikh HOA yang dijangka siap pada suku pertama 2025, menurut Kerjaya Prospek.
Dalam kenyataan berasingan, Kerjaya Prospek berkata pembangunan bercampur itu yang dijangka bermula pada penghujung 2024 dirancang untuk disiapkan secara berperingkat dalam tempoh tujuh tahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong, berkata projek ini memberikan peluang unik kepada kumpulan itu untuk mewujudkan ruang kediaman dan komersial yang mampan serta berkualiti tinggi di Pulau Pinang.
"Usaha ini mencerminkan visi bersama kami untuk menyokong pembangunan bandar raya Pulau Pinang dan meningkatkan akses untuk masyarakat.
"ROFR seterusnya untuk membangunkan tanah bersebelahan akan menyediakan potensi untuk pengembangan lanjut selain mengukuhkan jejak kami yang semakin berkembang di pasaran hartanah Pulau Pinang," katanya.
Source: Bharian.com.my