Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih
KUALA LUMPUR: Beverly Group menjalinkan kerjasama dengan Parktech Solutions untuk memperkenalkan Sistem Tempat Letak Kereta Automatik (ACPS) canggih yang dibangunkan Samjung Tech di Milla Residence, Quartz Wangsa Maju.
Bakal menjadi salah satu pemasangan ACPS terbesar di ASEAN, sistem yang dibangunkan syarikat dari Korea Selatan itu akan memiliki 2,358 ruang letak kereta dan 21 lif kereta, sekali gus meningkatkan kemudahan dan kemampanan untuk penduduk Milla Residence.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerjasama antara Beverly Group dan Samjung Tech membangunkan ACPS di Milla Residence adalah satu langkah bermakna ke arah matlamat kelestarian Malaysia.
"Dalam kita memajukan pengurangan karbon dan pembangunan bandar mesra alam, inisiatif seperti ini menetapkan contoh inspirasi bagaimana teknologi boleh menyumbang kepada persekitaran hidup yang lebih hijau dan sihat.
"Saya memuji Beverly Group atas dedikasi mereka untuk mewujudkan ruang bandar mampan yang menyokong komitmen negara kita untuk masa depan yang lebih bersih dan bertanggungjawab," katanya berucap selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Beverly Group, Parktech Solutions dan Samjung Tech di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Beverly Group, Derick Lim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samjung Tech Co Ltd, Choi Jong Wan; dan Pengarah Urusan Parktech Solutions Sdn Bhd, Yow Kai Yong.
Sebagai sistem pertama seumpamanya di rantau ini, ACPS direka untuk merevolusikan pengalaman tempat letak kereta 'urban' dengan memperkemas operasi tempat letak kereta dan mengurangkan pelepasan karbon, sejajar dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Indeks Bangunan Hijau (GBI) Malaysia.
Dengan mengurangkan masa dan perbelanjaan bahan api untuk pencarian tempat letak kereta tradisional, sistem itu menawarkan penyelesaian mesra alam, meminimumkan pelepasan terbiar sehingga 30 peratus dan mengurangkan penggunaan tanah melalui reka bentuk vertikal.
Direka untuk keselesaan pengguna, teknologi ACPS membolehkan penduduk dan pelawat hanya meletak kenderaan di pintu masuk yang ditetapkan di aras bawah, mematikan enjin dan berjalan meninggalkan sistem automatik untuk mengendalikan penyimpanan dan pengambilan kenderaan.
Untuk menggalakkan kehidupan mesra alam, Beverly Group akan bekerjasama dengan Maybank dalam Pembiayaan Rumah Hijau untuk Milla Residence.
Pilihan pembiayaan itu meliputi sehingga 95 peratus daripada harga pembelian rumah, dengan tambahan lima peratus yang diperuntukkan untuk kos seperti insurans kredit, takaful, yuran guaman, penilaian dan duti setem.
Sementara itu, Lim berkata, kerjasama dengan Samjung Tech menunjukkan teknologi canggih boleh menyokong kehidupan yang lebih hijau, meningkatkan kemudahan sambil menyumbang secara aktif kepada matlamat alam sekitar kumpulan.
"Milla Residence menyokong inisiatif EkoSetiawangsa oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang bertujuan untuk mengubah Setiawangsa menjadi 'urban eco-district' yang memupuk gaya hidup mampan.
"Menerusi ACPS dan ciri mampan lain, Beverly Group komited terhadap pembangunan bandar mesra alam dengan mengurangkan karbon dengan penyelesaian tempat letak kereta tradisional yang bermula dengan Milla Residence," katanya.
Milla Residence adalah apartment servis moden dan berteknologi tinggi di kawasan seluas 6.68 hektar di Quartz Wangsa Maju berdekatan stesen LRT Sri Rampai dan stesen MRT Rejang yang bakal dibangunkan.
Source: Bharian.com.my