News & Articles UEM Sunrise lepasi sasaran jualan hartanah RM1 bilion tahun ini

UEM Sunrise lepasi sasaran jualan hartanah RM1 bilion tahun ini


25 Nov 2024
UEM Sunrise lepasi sasaran jualan hartanah RM1 bilion tahun ini
KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd mencatatkan jualan hartanah mencecah RM426 juta pada suku ketiga 2024, jauh lebih tinggi daripada RM269.8 juta yang diraih pada suku kedua 2024, didorong oleh peningkatan pelancaran projeknya pada suku berkenaan.

Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata ini menjadikan jualan baharu selama sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 yang diraih UEM Sunrise mencecah sebanyak RM928.5 juta, membolehkan sasaran RM1 bilion yang ditetapkan oleh pihak pengurusan berjaya dilepasi.

Katanya, pada suku ketiga 2024, UEM Sunrise melancarkan projek bernilai RM808 juta di Iskandar Malaysia yang turut melepasi sasaran untuk tahun ini.

"Projek ini termasuk Aspira Hills fasa pertama dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM313 juta, Aspira LakeHomes 4, 5 dan 6 dengan GDV sebanyak RM230 juta dan kedai-kedai DiReka Square dengan GDV sebanyak RM249 juta.

"Semua unit di Aspira Hills dan DiReka Square kini habis ditempah atau dijual dan kami menjangkakan sebahagian daripada jualan ini akan dimasukkan dalam buku jualan suku keempat 2024 dan suku pertama 2025," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kok Wen berkata, jualan untuk projek sedia ada juga dilihat menggalakkan dan menunjukkan peningkatan.


"Kadar ambilan untuk The Minh meningkat kepada 68 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding suku kedua 2024 sebanyak 58 peratus, manakala jualan untuk The Connaught One pula meningkat kepada 50 peratus (42 peratus pada suku kedua 2024) dan Residensi ZIG kepada 33 peratus (19 peratus pada suku kedua 2024_/

"Kami kekalkan ramalan perolehan kami (terhadap UEM Sunrise) kerana beberapa pelupusan tanah bukan teras dan aset runcit dapat diselesaikan pada suku keempat 2024," katanya.

Namun begitu, beliau berkata, pelupusan tanah seluas 11.7 hektar di Ledang Timur untuk harga RM144.9 juta dengan anggaran keuntungan diperoleh RM20 juta mungkin mengambil masa lebih lama dan hanya akan selesai pada akhir tahun depan.

"Oleh sebab jualan hartanah yang kukuh pada suku ketiga 2024, jualan belum dibil UEM Sunrise meningkat kepada RM2.89 bilion daripada RM2.72 bilion pada suku kedua 2024.," katanya.

Keuntungan bersih UEM Sunrise melonjak 176 peratus kepada RM22.99 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2024, daripada RM8.34 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, di tengah-tengah sumbangan margin yang lebih tinggi daripada penjualan tanah.

Hasil meningkat kepada RM369.33 juta daripada RM312.35 juta sebelumnya, disumbangkan oleh penjualan tanah bukan strategik di Iskandar Puteri, Johor, tetapi diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada pembangunan hartanah.

Bagi sembilan bulan, keuntungan bersih menyaksikan pertumbuhan sederhana kepada RM50.01 juta daripada RM48.39 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan susut kepada RM799.51 juta berbanding RM917.09 juta, di tengah-tengah sumbangan yang lebih rendah daripada pembangunan hartanah.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor