News & Articles Projek Taman Perindustrian MTD Nexus 28 bakal pacu ekonomi Melaka

Projek Taman Perindustrian MTD Nexus 28 bakal pacu ekonomi Melaka


26 Nov 2024
Projek Taman Perindustrian MTD Nexus 28 bakal pacu ekonomi Melaka
MELAKA: MTD Properties semalam melancarkan projek pembangunan perindustrian dikenali Taman Perindustrian MTD Nexus 28 yang dijangka menjadi pemangkin dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Projek komersial itu akan dibangunkan di tapak seluas 2.472 hektar di lokasi strategik di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, yang menyediakan akses mudah kepada jaringan perhubungan dan jalan pengangkutan utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD, Reime Rizal Abdul Aziz berkata MTD Nexus 28 Industrial Park akan mengandungi 46 unit kilang berkembar dan juga 40 unit kilang teres 1/2 tingkat itu serta bakal memberikan pelabur peluang melabur dalam sektor berpermintaan tinggi.

"Pembinaan projek tersebut akan dimulakan pada Februari 2025 yang mana kerja pembersihan tapak sudah siap sepenuhnya.

"Taman perindustrian ini akan menampilkan 86 unit kilang moden yang dilengkapi dengan infrastruktur sistem pintar dan pemasangan panel solar fotovolta (PV)," katanya selepas Majlis Pra Pelancaran MTD Nexus 28 Industrial Park di pejabat jualan MTD Properties di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, semalam.

Hadir sama Pengarah Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Ir. Zainal Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi, Kumpulan MTD, Dr. Nik Fauzan Nik Faizul.

Reime Rizal berkata, sebagai pemaju hartanah berpengalaman lebih dari tiga dekad, MTD Properties tidak hanya fokus kepada pembangunan fizikal tetapi juga berperanan menyokong misi dan visi Kerajaan Negeri, terutama dalam aspek kelestarian dan pembangunan bandar pintar.

"Projek ini antara inisiatif MTD Properties bagi menyokong misi kerajaan negeri meningkatkan pertumbuhan perindustrian dan pelaburan domestik, malah membangunkan komuniti mampan, berteknologi hijau dan memiliki kualiti hidup yang lebih baik.

"Melalui projek ini kita berharap dapat membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak, serta memberi manfaat jangka panjang kepada perniagaan dan komuniti setempat serta mengukuhkan daya saing negeri Melaka," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Reime Rizal turut berkongsi mengenai projek Fasa 23 'Cinerea Heights' di Taman Tasik Utama yang mencatatkan kejayaan luar biasa apabila lebih 80 peratus unit terjual walaupun masih dalam pembinaan.

Menurutnya, sambutan hebat itu membuktikan perancangan projek pembangunan hartanah diusahakan syarikat itu seiring dengan kehendak dan keperluan komuniti dan pembeli hartanah.

"Kami berasa bangga kerana projek ini mendapat sambutan yang begitu positif dan ia menjadi bukti bahawa MTD Properties sentiasa menitikberatkan aspek kualiti dan keselesaan dalam pembinaan kediaman," katanya.

Prapelancaran projek berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung seperti sesi taklimat perumahan oleh Nik Fauzan, perkongsian oleh perunding hartanah, pameran model perumahan, cabutan bertuah dan mini zoo.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor