News & Articles Sime Darby Property bina pusat data tambahan di Elmina Business Park

Sime Darby Property bina pusat data tambahan di Elmina Business Park


3 Dec 2024
Sime Darby Property bina pusat data tambahan di Elmina Business Park
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd memeterai perjanjian pembinaan dan penyewaan baharu dengan Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd (Pearl Computing), anak syarikat milik penuh sebuah syarikat teknologi multinasional bagi pembangunan kemudahan pusat data tambahan.

Kemudahan pusat data itu akan dibangunkan mengikut spesifikasi tersuai dan keperluan infrastruktur di kawasan seluas 77 ekar di Elmina Business Park, di mana ia terletak berdekatan dengan pusat data pertama Pearl Computing yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada awal tahun 2026.

Dengan infrastruktur yang kukuh, lokasi strategik dan pelan induk yang dirancang rapi, kawasan perindustrian seluas 1,500 ekar itu merupakan hab perniagaan perindustrian pegangan bebas terbesar di Lembah Klang dan menjadi destinasi pilihan untuk industri berasaskan teknologi.

Kejayaan memperoleh projek pusat data tambahan ini akan mempercepatkan lagi pembangunan kawasan berkenaan untuk menjadi hab perindustrian yang berkembang pesat, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada syarikat global.

Pembangunan infrastruktur di tapak itu sedang berjalan dan dijangka siap pada tahun 2027 dan pihak terbabit akan memeterai perjanjian penyewaan selama 20 tahun yang bernilai sehingga RM5.6 bilion, dengan pilihan untuk memperbaharui selama dua tempoh tambahan lima tahun.

Ini bagi merealisasikan strategi 'SHIFT25' kumpulan untuk meningkatkan pendapatan berulang secara signifikan dan mengembangkan aset yang diuruskan di bawah segmen Pelaburan dan Pengurusan Aset (IAM).

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican, berkata perjanjian itu mencerminkan keupayaan syarikat itu untuk membangun, memiliki dan menyewakan pusat data yang memenuhi keperluan ekonomi digital global bagi menunjukkan kecanggihan teknikal dan kebolehpercayaan operasi yang diperlukan untuk aset infrastruktur kompleks yang penting.

"Dengan kehadiran pusat data di Elmina Business Park ini, ia akan meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai hab digital utama di Malaysia, disokong oleh infrastruktur Selangor yang maju, dasar mesra perniagaan serta usaha kolaboratif pihak berkuasa.

"Kami mengucapkan penghargaan yang tulus kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Tenaga Nasional Bhd dan Air Selangor di atas sokongan mereka yang tidak ternilai dalam merealisasikan projek ini," katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu akan memperkukuhkan lagi kerjasama pusat data pertama Sime Darby Property yang diumumkan pada Mei tahun ini, bagi menandakan kemasukan syarikat itu ke dalam segmen pusat data.

Inisiatif ini juga mewakili perkembangan kukuh ke dalam kelas aset pusat data bernilai tinggi dan mengukuhkan kedudukan Sime Darby Property sebagai pemangkin utama dalam perjalanan transformasi digital Malaysia.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Projek hartanah Mah Sing di Johor dapat sambutan hebat

  • SPNB to build 23,000 RMR units by 2025, exceeding 12MP target

  • Affordable housing is a stepping stone to higher-priced homes

  • Sime Darby Property bina pusat data tambahan di Elmina Business Park

  • Harmoni Madani PRR in Bestari Jaya to start early next year