News & Articles Radium bangun projek hartanah bercampur RM470 juta di Ampang
Radium bangun projek hartanah bercampur RM470 juta di Ampang
6 Dec 2024
KUALA LUMPUR: Radium Development Bhd (Radium) akan membangunkan usaha niaga hartanah bercampur di Ampang, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM470 juta.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata pembangunan itu membabitkan 1,128 unit kediaman termasuk 340 unit pangsapuri servis mampu milik dan ruang komersial di atas tanah pegangan pajakan seluas 1.04 hektar yang diambil alih melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Mayang Sepakat Sdn Bhd berjumlah RM45 juta.
Projek itu adalah yang pertama bagi Radium di luar Kuala Lumpur dan ia seiring dengan pelan pengembangan syarikat itu untuk mengukuhkan kedudukannya di lokasi utama di Lembah Klang.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong, berkata projek itu untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap ruang yang berkualiti tinggi dan mudah diakses di Lembah Klang, selain membuktikan komitmen kepada pemegang saham untuk mewujudkan nilai jangka panjang dan mampan.
"Syarikat yakin pengambilalihan ini akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan dan memperkukuh kepimpinan pasaran dalam pembangunan hartanah yang strategik di Lembah Klang," katanya.
Menurut Radium, ia akan membiayai pengambilalihan bernilai RM45 juta itu melalui gabungan dana dalaman dan pembiayaan bank.