Projek Conlay daripada E&O dapat sambutan amat menggalakkan
KUALA LUMPUR: Eastern & Oriental Bhd (E&O) mencapai kadar pengambilan melebihi 73 peratus bagi projek terbaharunya, Conlay yang dijadualkan siap pada suku pertama 2025.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM900 juta, bangunan 51 tingkat itu mempunyai 491 unit dengan keluasan dari 743 kaki persegi (kps) untuk pangsapuri satu bilik hingga unit yang sebesar 1,335 kps yang memuatkan susun atur dua campur satu bilik.
Setiap unit dilengkapi dengan perkakas dan kemasan yang premium untuk memberikan kepuasan dan nikmat kehidupan di mana gaya moden diadun dengan keselesaan.
Dengan kerjasama Mitsui Fudosan Group dari Jepun, bangunan itu direka oleh Kerry Hill Architects dan diilhamkan sebagai satu menara tropika kontemporari serta mempunyai reka bentuk terkini.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong, berkata Conlay mencerminkan komitmen E&O terhadap hospitaliti dan ketelitian ketukangan, sementara mengintegrasikan falsafah rekaan ikonik daripada Kerry Hill.
"Ia memberikan satu tempat menginap yang elegan dan seimbang, di mana setiap butir turut diberi perhatian teliti untuk pengalaman kehidupan bandaran yang anggun.
"Projek Conlay ini merupakan terjemahan wawasan E&O untuk mencipta wajah mewah di tengah Kuala Lumpur," katanya semasa majlis 'topping out' Conlay, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia, Masayoshi Saito, berkata kerjasama dengan E&O untuk Conlay, mencerminkan keyakinan dan dedikasi syarikat untuk kejayaan projek ini terhadap kehidupan bandaran yang unggul.
"Bersandarkan kepakaran E&O dalam kehidupan mewah dan hospitaliti, Conlay menunjukkan keutuhan kerjasama kami serta perkongsian wawasan untuk mencipta ruang dan pembangunan ikonik untuk penghuni yang mempunyai cita rasa.
"Conlay mencerminkan kepercayaan kami bahawa kemewahan yang tulen terletak pada pengalaman," katanya.
Lokasi Conlay yang strategik terletak bersebelahan dengan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Conlay, membolehkan penghuninya berjalan kali ke pusat membeli-belah serta kemudahan rekreasi, termasuk Pavilion Kuala Lumpur dan kawasan Bukit Bintang.
Ia juga terletak berhampiran dengan wilayah kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang kian membangun, sekali gus menjamin capaian yang mudah kepada perkhidmatan perniagaan dan hiburan.
Kemudahan premium di Conlay merangkumi kolam renang infiniti, gimnasium serba lengkap, sauna, ruang santai pelbagai guna, serta ruang bersama seperti perpustakaan, bilik muzik dan bilik permainan.
Pembangunan ini juga dilengkapi dengan ruang gaya hidup dan santapan di tingkat 50 demi keselesaan eksklusif untuk penghuni.
Source: Bharian.com.my