News & Articles Tropicana lancar projek Skypark Kepler di Johor, harga bermula RM790,000

Tropicana lancar projek Skypark Kepler di Johor, harga bermula RM790,000


11 Dec 2024
Tropicana lancar projek Skypark Kepler di Johor, harga bermula RM790,000
PETALING JAYA: Tropicana Corporation Bhd melancarkan projek kediaman pertama bersama Banyan Group untuk membangunkan Skypark Kepler, pada harga bermula daripada RM790,000.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.1 bilion, kediaman berjenama pegangan bebas yang terletak di Johor itu dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima tahun.

Pembangunan itu bakal menjadi ikon baharu dengan dua menara setinggi 54 tingkat yang dilengkapi dengan 1,596 unit mewah direka lengkap dengan susun atur satu hingga tiga bilik tidur, berkeluasan antara 463 kaki persegi (satu tambah satu bilik) hingga 807 kaki persegi (tiga bilik dan tiga bilik mandi).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tropicana, Datuk Mark Rozario, berkata Tropicana terus meneroka sempadan baharu melalui pembangunan ikonik.

"Dengan Skypark Kepler, kami ingin mencipta pengalaman transformasi untuk pembeli hartanah, di mana mereka boleh menikmati kehidupan bandar pintar yang digabungkan dengan gaya hidup mewah dalam persekitaran lestari.

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan jenama global seperti Banyan Group, Samsung, dan Kohler untuk projek kediaman berjenama pertama kami, Skypark Kepler," katanya pada Majlis Menandatangani Projek Skypark Kepler dengan Banyan Group, di sini, hari ini.


Tropicana turut menandatangani kerjasama jenama dengan Samsung dan Kohler untuk menyediakan kelengkapan rumah mewah, peralatan dan kelengkapan sanitari di Skypark Kepler.

Peralatan Samsung Bespoke Kecerdasan Buatan (AI) akan diintegrasikan dengan sistem rumah pintar Moorgen, salah satu pengeluar rumah pintar terkemuka di dunia.

Rozario berkata, dengan kepakaran dalam industri hartanah serta kerjasama dengan syarikat antarabangsa, beliau yakin projek itu akan menarik lebih ramai pembeli, daripada pelabur dan penduduk Singapura kepada golongan yang mencari gaya hidup berkualiti.

"Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala dan membuka potensi pertumbuhan di Malaysia dan Singapura.

"Ini akan memperkukuh perdagangan dan hubungan antara dua negara, menggalakkan pemindahan teknologi serta merangsang pertumbuhan dalam pelbagai industri.

"Skypark Kepler akan menjadi pilihan kediaman yang sempurna untuk pelancong perniagaan, golongan pelabur bijak," katanya.

Selaras dengan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Tropicana, pelan induk itu menawarkan pelbagai ciri menarik seperti laluan tepi pantai sepanjang 2.5 kilometer (km), taman hijau seluas 32 ekar dengan pusat kebudayaan untuk perhimpunan komuniti, ciri bangunan hijau, infrastruktur 5G, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), tingkap berlapis rendah haba, sistem penuaian air hujan, serta kelengkapan yang cekap tenaga dan air.

Setiap unit akan dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan mewah seperti peralatan rumah pintar Samsung Bespoke AI, kelengkapan dan sanitari Kohler, kabinet Bofi, soket Legrand, peralatan dapur Bosch, serta tilam Serta dan Sealy.

Pemilik unit juga akan menikmati pelbagai manfaat global daripada Banyan Group, termasuk program Banyan Living Rental Programme dan Banyan Sanctuary Club.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • [UPDATED] Iconic Penang opens Iconic Marjorie Hotel in Penang

  • Mah Sing terus tumpu bina rumah mampu milik bawah RM500,000

  • Longer loan tenures could unintentionally inflate property values, says critics

  • Fasa 1 pembangunan semula Kampung Baru dijangka bina menara

  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil