MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion
SEREMBAN: Projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) mencatat sejarah baharu dengan majlis pecah tanah projek perdananya, MVV City, yang berlangsung secara rasmi hari ini.
Kerjasama strategik antara kerajaan Negeri Sembilan menerusi Perbadanan NS dan Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) itu bakal menjadi pemangkin utama pembangunan MVV 2.0 yang meliputi kawasan seluas 379,087 ekar.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin, berkata MVV City adalah langkah awal membangunkan bandar pintar yang berpotensi mengubah landskap ekonomi negara.
"Projek ini memacu transformasi sosioekonomi dengan mencipta peluang pekerjaan, menarik pelaburan dan membentuk persekitaran lestari. Ia juga meluaskan rangkaian Kuala Lumpur dengan menghubungkan Putrajaya dan Singapura menerusi lebuh raya serta projek mobiliti masa depan seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR)," katanya.
Menurutnya, pembangunan MVV City merangkumi zon ekonomi maju, pusat perniagaan dan institusi pendidikan termasuk kemudahan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sementara itu, Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock, berkata projek itu meliputi 8,796 ekar dengan fasa pertama melibatkan 2,382 ekar tanah dan pelaburan awal RM15 bilion.
"MVV City menyediakan 1,000 ekar ruang perindustrian, lebih 15,000 unit kediaman serta 174 ekar lot komersial. Ia direka untuk memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup dan memupuk semangat komuniti," katanya.
Beliau berkata, Matrix Concepts memegang 85 peratus kepentingan dalam projek itu dan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk memastikan kejayaan model kerjasama awam-swasta ini.
Mohamad Haslah menambah, sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2013 dengan nilai pasaran RM660 juta, Matrix Concepts kini menghampiri RM3 bilion dengan pertumbuhan mampan dalam tempoh 10 tahun.
"Dengan pengalaman luas, kami berhasrat menerajui pembangunan inovatif dan lestari dalam MVV 2.0 demi membawa Negeri Sembilan ke tahap lebih cemerlang," katanya.
MVV 2.0 adalah inisiatif kerajaan Negeri Sembilan yang dirangka bersama Perbadanan NS dan Matrix Concepts sebagai rakan strategik bagi merealisasikan keperluan pembangunan bandar pintar yang seiring kemajuan global.
Projek ini dijangka menjadi legasi penting dalam menjadikan Negeri Sembilan sebagai pusat inovasi, kelestarian dan kemakmuran masa depan.
Source: Bharian.com.my