Mah Sing terus tumpu bina rumah mampu milik bawah RM500,000
KUALA LUMPUR: Perumahan mampu milik kekal menjadi teras perniagaan pembangunan hartanah Mah Sing Group Bhd melalui Siri M, yang menawarkan kediaman berharga di bawah RM500,000 kepada pembeli rumah kali pertama dan golongan berpendapatan sederhana.
Projek seperti M Aspira, M Nova, M Sinar dan M Zenya terus mendapat sambutan yang memberangsangkan, mencerminkan permintaan yang tinggi terhadap rumah mampu milik dengan ciri berkualiti tinggi.
Menyedari kejayaan Siri M, Mah Sing giat mencari peluang untuk memperoleh tanah strategik tambahan bagi memperluaskan penawaran dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Datuk Sri Leong Hoy Kum, berkata inisiatif kerajaan termasuk insentif cukai untuk pembeli rumah pertama yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dijangka merangsang permintaan.
Beliau berkata, perkembangan itu sekali gus memberikan galakan kepada Mah Sing untuk menyediakan rumah pada harga yang menarik sambil mengekalkan reka bentuk dan kualiti yang cemerlang bagi memastikan daya saing dalam segmen ini.
Sementara itu, menurutnya segmen industri dijangka mencatat pertumbuhan pesat pada 2025 melalui pembangunan MSS Business Park di Sepang, selaras dengan kelebihan Malaysia dalam strategi 'China Plus One', di mana pengeluar global mempelbagaikan operasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada China.
"Sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) yang stabil dan kos efektif, Malaysia memberi peluang kepada Mah Sing untuk memanfaatkan trend ini. Segmen industri dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan dalam tahun-tahun akan datang.
"Sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengkomputeran awan dan perkhidmatan data, Mah Sing juga telah melibatkan diri dalam perniagaan pusat data, menandakan langkah strategik ke arah sektor yang berpotensi tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hoy Kum berkata, kerjasama Mah Sing dengan Bridge Data Centres bertujuan untuk membangunkan pusat data berkapasiti kuasa 300 megawatt (MW) di Mah Sing DC Hub@Southville City, dengan operasi dijangka bermula secara berperingkat menjelang 2026.
Katanya, perancangan ini adalah sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menjadikan Southville City sebagai hab pusat data serantau, dengan kapasiti kuasa keseluruhan dirancang sebanyak 500 MW merangkumi 150 ekar, di mana segmen pusat data itu bukan sahaja meningkatkan aliran pendapatan berulang Mah Sing, tetapi menonjolkan komitmennya terhadap kelestarian melalui reka bentuk dan infrastruktur cekap tenaga.
"Selain Southville City, Mah Sing turut meneroka peluang pusat data di kawasan seluas 42 ekar di perbandaran Meridin East, Johor Bahru di mana tapak ini menawarkan potensi kapasiti kuasa 300 MW dan menyediakan peluang untuk memaksimumkan nilai tanah melalui penjualan tanah atau usaha sama," katanya.
Ketika Mah Sing melangkah ke 2025, strategi pertumbuhan yang pelbagai meletakkan kumpulan itu untuk mengharungi cabaran sambil memanfaatkan peluang dalam segmen kediaman, industri, pusat data, dan pembuatan.
Dengan pendekatan berpandangan ke hadapan, komitmen kukuh terhadap kelestarian dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pemerolehan tanah strategik untuk menyokong kejayaan Siri M, Mah Sing bukan sahaja membina rumah dan taman perindustrian, malah turut membentuk masa depan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang kompetitif dan berdaya tahan.
Source: Bharian.com.my