News & Articles Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar


7 Jan 2025
Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar
KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd dijangka mencatat jualan hartanah lebih tinggi pada 2025, didorong oleh pelancaran baharu dan pembelian tanah yang agresif.

Penganalisis TA Securities, Thiam Chiann Wen, berkata kejayaan berterusan dalam siri kediaman mampu milik M dijangka memacu momentum jualan yang berterusan pada tahun ini, mengukuhkan lagi kedudukan Mah Sing sebagai peneraju dalam segmen perumahan mampu milik.

"Berikutan permintaan yang kukuh ini, kami percaya Mah Sing berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan 2024 sekurang-kurangnya RM2.5 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Setakat suku ketiga 2024, Mah Sing mencapai 74 peratus daripada sasaran setahun penuh, dengan RM700 juta dalam pelancaran baharu dirancang untuk suku keempat 2024 bagi mengekalkan momentum.

Chiann Wen berkata, TA Securities melihat secara positif strategi fokus Mah Sing yang menawarkan perumahan mampu milik kepada pasaran massa, terutamanya di kawasan bandar.

"Dengan menyasarkan pembeli rumah kali pertama, kumpulan ini memberi tumpuan kepada hartanah yang berharga di bawah RM500,000 seunit, yang menyumbang 72 peratus daripada sasaran jualan kediaman 2024," katanya.


Pelancaran siri M mendapat sambutan yang baik, mencapai kadar pengambilan melebihi 90 peratus, disokong lokasi strategik, harga yang kompetitif dan sejajar dengan inisiatif kerajaan yang menyokong pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan sederhana.

"Model perniagaan Mah Sing adalah pemacu utama kejayaannya dalam pelbagai sektor. Dalam pembangunan hartanah, kumpulan ini menunjukkan kecekapan dan kepantasan luar biasa, melancarkan projek baharu dalam tempoh tujuh hingga 12 bulan selepas mengambil alih tanah.

Contoh ketara adalah projek M Aspira di Taman Desa, Kuala Lumpur, di mana Mah Sing memperoleh tanah seluas 2.5 hektar pada Julai 2024 dengan harga RM108 juta dan sebelum melancarkan Galeri Jualan M Aspira dalam masa hanya empat bulan pada November 2024.

"Pelaksanaan pantas ini menekankan keupayaan kumpulan untuk memenuhi permintaan pasaran dengan cepat sambil mengekalkan kecemerlangan operasi," tambah Chiann Wen.

Selain hartanah, TA Securities berkata, tahap agresif Mah Sing melangkaui sektor berpotensi tinggi yang lain.

"Semasa pandemik COVID-19, ia menjadi antara peneraju baharu pertama di Malaysia yang memulakan pengeluaran sarung tangan, menunjukkan keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan pasaran.

"Pendekatan dinamik kumpulan ini turut terserlah dalam penyertaan ke dalam industri pusat data. Pada Mei 2024, Mah Sing melancarkan Mah Sing DC Hub@Southville City dengan kerjasama Bridge Data Centres (BDC).

"Operasi dijangka bermula menjelang 2026, dengan rancangan untuk meningkatkan kapasiti sehingga 300 megawatt (MW), mengukuhkan lagi keupayaan Mah Sing untuk melaksanakan inisiatif strategik dengan cekap dan memanfaatkan peluang baharu yang muncul," kata Chiann Wen.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025