LBS Lancar Centrum Iris di Cameron Highlands
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Bhd (LBS), melancarkan Centrum Iris – presint kedua dalam pembangunan Cameron Centrum yang kini menjadi pembangunan bercampur terbesar di Cameron Highlands dengan pelbagai tawaran komersial menarik.
Terletak strategik di pusat komersial Brinchang, projek ini bernilai pembangunan kasar (GDV) RM472 juta, melengkapkan portfolio LBS yang semakin berkembang. Centrum Iris dijangka mentakrifkan semula konsep kehidupan di tanah tinggi dengan gabungan elemen moden dan sentuhan klasik Inggeris yang menarik perhatian pembeli.
Diperakui sijil Silver GreenRE1, Centrum Iris menawarkan 705 unit kediaman berkeluasan antara 595 hingga 1,370 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM476,000. Pembangunan ini turut merangkumi 26 unit komersial bersaiz antara 615 hingga 2,944 kaki persegi, berharga dari RM676,000.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, Centrum Iris mencerminkan aspirasi LBS untuk mencipta pembangunan bersepadu yang memenuhi keperluan gaya hidup moden dan dinamik.
"Kami bukan sahaja mentakrifkan semula kehidupan di tanah tinggi, tetapi juga menetapkan penanda aras baharu bagi pembangunan bercampur di Cameron Highlands. Ini adalah permulaan kepada pelancaran lebih banyak projek menarik pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, pembangunan-pembangunan ini akan memberi nilai tambah kepada penduduk sekitar dengan menawarkan kemudahan inovatif yang menggabungkan keselesaan moden dan keindahan semula jadi.
Centrum Iris direka teliti untuk memenuhi keperluan pemilik rumah dan perniagaan, menggabungkan kemudahan bandar dengan pesona semula jadi tanah tinggi. Berinspirasikan taman Inggeris, ia menawarkan elemen unik seperti English Courtyard, Iris Tea Garden, Songbird Sanctuary, Courtyard Carriage Garden, Iris Maze Garden, dan Iris Promenade yang menambah keanggunan dan ketenangan kepada persekitarannya.
Dengan lebih 47 kemudahan gaya hidup termasuk kemudahan rekreasi, Centrum Iris bertujuan meningkatkan kualiti hidup penghuni. Projek ini juga menampilkan ciri-ciri lestari seperti stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), sekali gus menunjukkan komitmen LBS terhadap kelestarian alam.
Menambah daya tarikan, pembangunan ini turut menawarkan ruang santai eksklusif seperti restoran dan kafe bumbung dengan pemandangan memukau tanah tinggi, menjadikannya destinasi unik bagi penduduk dan pelancong.
Bagi mereka yang berminat dengan kediaman eksklusif di Cameron Highlands, Centrum Iris menawarkan peluang unik menikmati gaya hidup mewah di lokasi strategik.
Untuk maklumat lanjut, hubungi 1700 81 8778, layari www.cameroncentrum.com.my, atau kunjungi galeri jualan di C-2-48, Presint 1, Cameron Centrum, Brinchang, Cameron Highlands, yang dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
Source: Bharian.com.my