News & Articles Nilai transaksi hartanah naik mendadak kepada RM217.46 bilion tahun lalu

Nilai transaksi hartanah naik mendadak kepada RM217.46 bilion tahun lalu


3 Feb 2025
Nilai transaksi hartanah naik mendadak kepada RM217.46 bilion tahun lalu
IPOH: Prestasi pasaran hartanah di Malaysia terus mengukuh sepanjang 2024 apabila mencatatkan kenaikan mendadak nilai transaksi RM217.46 bilion, jauh melebihi sasaran awal RM100 bilion yang ditetapkan pada awal tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata data terkini itu yang disifatkan sebagai pencapaian membanggakan dalam sektor hartanah menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya, di mana jumlah transaksi hartanah pada 2022 adalah RM179.07 bilion, manakala 2023 mencatatkan RM196.83 bilion.

Katanya, peningkatan yang mencerminkan kekuatan sektor hartanah negara itu didorong oleh beberapa faktor utama termasuk kadar faedah rendah, sentimen pelabur yang positif, serta prospek ekonomi yang semakin stabil.

Menurutnya, keyakinan pelabur tempatan dan asing terhadap pasaran hartanah Malaysia juga terus meningkat, justeru memperkukuh kedudukan sektor berkenaan sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.

Kor Ming berkata, jumlah nilai lesen permit pengiklanan pembangunan yang diluluskan oleh Jabatan Perumahan Negara sepanjang 2024 mencatatkan 195,962 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM130.55 bilion.

Beliau berkata, sektor hartanah dijangka akan terus mengekalkan landasan pertumbuhan positif bagi tahun ini dengan pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2025.

"Antara inisiatif itu adalah otongan cukai pendapatan individu atas bayaran faedah pinjaman rumah bagi meringkan beban kewangan pemilik rumah, serta peruntukan tambahan RM10 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

"Langkah-langkah ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam merealisasikan matlamat 'Rumahku, Syurgaku' dengan memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki rumah yang selesa dan mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Majlis Tahun Baru Cina 2025 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCI) di Hotel Weil, di sini hari ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama pada majlis sambutan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Yang Dipertua PCCI, Datuk Liew Chee Ming.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • February Auction Carnival 2025: Bigger, Bolder, and Better Deals Than Ever!

  • Nilai transaksi hartanah naik mendadak kepada RM217.46 bilion tahun lalu

  • Compugates to jointly develop Cyberjaya land into RM1.36 bil GDV project

  • Mall operators put their faith in fresh strategies

  • Pasaran pejabat catat pertumbuhan, fokus kepada ruang premium, ESG