OCR perluas segmen perumahan menerusi pelancaran baharu, serah milik Isola KLCC
PETALING JAYA: OCR Group Berhad (OCR) terus mengukuhkan kehadirannya dalam segmen perumahan mampu milik dan kediaman mewah dengan dua pencapaian penting, iaitu pelancaran rasmi projek perumahan mampu milik Kyra Collection – Residensi Akasia (Fasa 1) di Shah Alam serta serahan pemilikan kosong bagi projek kediaman mewah Isola KLCC di ibu negara.
OCR yang terkenal sebagai pemaju hartanah bersepadu dan pengurus projek, menyasarkan untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap rumah berkualiti di Malaysia dengan membangunkan lebih banyak projek yang berdaya saing.
Dalam usaha menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat Malaysia, OCR melancarkan Kyra Collection yang terdiri daripada 2,892 unit pangsapuri merangkumi empat fasa. Harga bagi Fasa 1 ditetapkan pada RM288,000 seunit, menjadikannya pilihan ideal bagi pembeli rumah pertama dan keluarga muda, selaras dengan agenda kerajaan untuk memperkasa pemilikan rumah.
Menurut OCR, sambutan terhadap projek ini sangat menggalakkan dengan pendaftaran pemohon melebihi 100 peratus melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), menunjukkan permintaan tinggi dalam kalangan pembeli.
Terletak di U9, Shah Alam, Kyra menawarkan akses mudah ke pelbagai kemudahan serta dilengkapi dengan reka bentuk moden dan ciri-ciri mesra alam. Ia turut menampilkan kemudahan gaya hidup penting bagi memastikan nilai jangka panjang kepada pemilik rumah.
Dalam segmen kediaman mewah, OCR berjaya menyiapkan projek Isola KLCC dengan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 12 Februari 2025. Projek ini menawarkan kediaman bertaraf tinggi dengan reka bentuk moden serta pelbagai kemudahan eksklusif berhampiran Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.
Dengan pemilikan kosong kini bermula, pemilik kediaman boleh mula berpindah serta-merta, sekali gus menandakan kejayaan baharu OCR dalam membangunkan hartanah bandar premium.
Pengarah Urusan Kumpulan OCR, Billy Ong Kah Hoe berkata, kejayaan dua projek ini mencerminkan kepakaran OCR dalam menyediakan kediaman berkualiti bagi pelbagai segmen pasaran.
"Kami komited dalam menyediakan rumah berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia, sama ada dalam kategori perumahan mampu milik atau kediaman bandar premium. Dengan Kyra, kami membantu merealisasikan impian pemilikan rumah, manakala Isola KLCC pula menawarkan gaya hidup bandar yang lebih eksklusif kepada pembeli yang berpengalaman," katanya dalam satu kenytaan.
Pencapaian OCR ini hadir pada ketika pasaran hartanah Malaysia menunjukkan momentum positif. Data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi suku ketiga 2024 menunjukkan nilai transaksi perumahan mencecah RM28.74 bilion dengan 70,520 unit terjual, menandakan permintaan kukuh dalam segmen hartanah mampu milik dan mewah.
OCR kini sedang merancang pelancaran Fasa 2 Kyra bagi memenuhi permintaan tinggi, selain merancang pembangunan D'Templer Hilltop Residences pada suku kedua 2025 bagi mengukuhkan portfolio perumahan bandar.
Dengan strategi pertumbuhan mampan dan inovasi berteraskan pelanggan, OCR terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemaju hartanah yang mengutamakan kebolehcapaian dan kecemerlangan dalam industri.
Source: Bharian.com.my