News & Articles Lokasi strategik Alfa Bangsar tarik minat penyewa, pengunjung

Lokasi strategik Alfa Bangsar tarik minat penyewa, pengunjung


4 Mar 2025
Lokasi strategik Alfa Bangsar tarik minat penyewa, pengunjung
KUALA LUMPUR: Kadar penghunian runcit Alfa Bangsar, pembangunan bercampur oleh City Motors Group mencapai 90 peratus walaupun hartanah itu baru dibuka beberapa bulan lalu.

Ketua Bahagian Runcit Alfa Bangsar, Foo Yit Loong, berkata kejayaan itu membuktikan lokasi yang strategik selain kelainan yang ditawarkan berjaya menarik minat penyewa dan pengunjung.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif City Motors Group berkata, terletak di lokasi strategik di Bangsar, Alfa Bangsar adalah pembangunan bercampur bernilai RM450 juta yang merangkumi kediaman servis premium, hotel baharu Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar serta unit runcit.

Katanya, dengan jumlah ruang runcit seluas 25,900 kaki persegi, segmen runcit Alfa Bangsar kini berkembang pesat dengan 23,300 kaki persegi berjaya disewa oleh pelbagai jenama terkemuka termasuk penyewa baharu seperti Papibu, Chase, SpinePlus, Horology & Co. serta Lucid.

Menurutnya, semua penyewa berkenaan membawakan kelainan tersendiri terutamanya untuk golongan muda.

"Pemilihan penyewa runcit di Alfa Bangsar telah melalui proses yang teliti selama empat tahun. Kami gembira melihat visi ini menjadi kenyataan, dengan barisan penyewa yang kukuh membentuk suasana yang lebih bertenaga dan dinamik.

"Matlamat kami bukan sekadar membina ruang komersial, tetapi mencipta sebuah destinasi di mana orang ramai boleh tinggal, bekerja dan menikmati gaya hidup yang seimbang," katanya.

Mengulas lanjut, Yit Loong berkata, dengan kadar penghunian hampir penuh, kumpulan berharap dapat menyambut penyewa terakhir bagi melengkapkan perancangan ini serta mengukuhkan Alfa Bangsar sebagai hab komuniti sebenar.

Beliau berkata, Alfa Bangsar kini beroperasi sepenuhnya dengan tiga komponen utama iaitu kediaman servis, hotel dan runcit.

Katanya, kediaman servis habis dijual manakala untuk segmen hotel iaitu Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar mula menerima kunjungan tetamu.

"Kejayaan ini mencerminkan komitmen City Motors Group dalam menyediakan pengalaman kehidupan bandar yang premium dan mampan.

"Susulan kejayaan ini, City Motors Group kini bersedia untuk projek mercu tanda seterusnya di Bukit Bintang, yang bakal diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sime Darby Property sees strong growth in high-rise segment

  • Lokasi strategik Alfa Bangsar tarik minat penyewa, pengunjung

  • Belfield Tunnel opens, providing easy entry and exit to Menara Merdeka 118

  • Jualan hartanah baharu Matrix Concepts meningkat kepada RM354.3 juta

  • Rehda more upbeat about property market following Napic's latest report