Bali Escape Kuala Lumpur dibuka suku keempat 2025
KUALA LUMPUR: Projek taman peruncitan terbaharu M&M Ventures Holdings Sdn Bhd, Bali Escape Kuala Lumpur (BEKL) di Pudu, Kuala Lumpur sedia dibuka menjelang suku keempat ini seperti dijadualkan.
Ketua Pegawai Eksekutif M&M Ventures Holdings, Dominic Tan, berkata pihaknya ketika ini giat mencari penyewa berpotensi untuk mengisi 60 lot kedai dalam lot runcit setinggi tiga tingkat itu.
Katanya, dengan mengambil inspirasi dari Bali, projek itu menampilkan konsep ruangan terbuka yang dipenuhi pelbagai jenis pokok dan tumbuhan, pengunjung akan dapat berasakan suasana seperti di dalam hutan yang tenang dan damai.
"Kebanyakan pusat beli-belah di sini adalah tertutup sepenuhnya, tetapi BEKL menggabungkan elemen dalaman dan luaran. Konsep ini memberikan suasana al-fresco yang menyerupai bazar, selain menawarkan pelbagai pilihan kedai, termasuk dari Eropah, Bali, serta kedai antik.
"Ketika ini, lebih 50 peratus penyewa sedang dalam peringkat rundingan akhir, manakala 20 hingga 30 penyewa sudah menandatangani perjanjian. Kami menjangkakan menjelang April, jumlah penyewa akan mencapai antara 40 ke 50 peratus," katanya kepada BH.
Dengan pelaburan sebanyak RM50 juta, BEKL yang berkeluasan empat ekar bakal menampilkan lot runcit tiga tingkat dengan jumlah keluasan boleh disewa 153,576 kaki persegi.
BEKL terletak berhampiran beberapa pusat beli-belah utama seperti Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre, The Exchange TRX, Berjaya Times Square, dan MyTOWN Shopping Centre.
Selain itu, lokasinya juga berdekatan dengan beberapa stesen pengangkutan awam utama, termasuk Stesen LRT Pudu, Stesen MRT Tun Razak Exchange, serta Stesen LRT-Monorail Hang Tuah dan Stesen Monorail Imbi.
Mengulas lanjut, Tan berkata, BEKL mengetengahkan konsep 'garden dining' pertama di ibu kota, iaitu pengalaman menjamu selera dalam suasana taman dengan siling yang tinggi, dipenuhi dengan pokok hijau serta pencahayaan semula jadi.
"Kami mahu mencipta persekitaran di mana pengunjung boleh melarikan diri daripada kesibukan kota, tetapi masih berada di tengah bandar.
"Projek ini akan menampilkan pelbagai tarikan unik, termasuk gelanggang Pickleball di tingkat atas dengan pemandangan bandar Kuala Lumpur. Terdapat juga tarikan akuarium dan zoo mini yang membawakan suasana akuarium gergasi seperti di Korea Selatan, menampilkan pelbagai spesies marin dan haiwan eksotik seperti capybara dan kanggaru.
"Selain itu, restoran di BEKL akan memastikan semua menu adalah halal, menjadikannya mesra kepada semua pengunjung," katanya.
Menariknya, BEKL turut memperkenalkan konsep bazar unik yang diinspirasikan daripada enam bandar ikonik dunia, termasuk Canggu (Bali), Chatuchak (Bangkok), Dongdaemun (Korea Selatan), dan Ginza (Jepun).
Konsep ini menyerupai Terminal 21 di Bangkok, di mana setiap bahagian bazar akan direka dengan suasana tersendiri, memberikan pengalaman beli-belah yang lebih menarik dan berbeza.
Source: Bharian.com.my