News & Articles Sentral REIT beli Arcoris Plaza pada harga RM70 juta
Sentral REIT beli Arcoris Plaza pada harga RM70 juta
28 May 2025
KUALA LUMPUR: Sentral Real Estate Investment Trust (REIT) Management Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli bersyarat (SPA) untuk memperoleh aset milik UEM Sunrise Bhd di Arcoris Plaza di sini dengan nilai RM70 juta.
Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata bahawa SPA tersebut ditandatangani antara Sentral REIT dan kedua-dua anak syarikat UEM Sunrise, iaitu Arcoris Sdn Bhd (ASB) dan Sun Victory Sdn Bhd (SVSB).
Ia berkata, SPA itu membabitkan pemerolehan 38 unit runcit bertingkat dan 1,432 tempat letak kereta di Arcoris Plaza.
"Jumlah RM7 juta iaitu 10 peratus daripada harga pembelian akan dibayar oleh Sentral REIT kepada SVSB apabila SPA dilaksanakan.
"Baki RM63 juta lagi akan dibayar oleh Sentral REIT kepada peguam SVSB yang bertindak sebagai pemegang amanah, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh siap, atau dalam tempoh lanjutan tambahan selama satu bulan," katanya.
Mengenai prospek, Sentral REIT berkata hartanah tersebut dijangka memberikan impak positif memandangkan lokasinya yang strategik, aksesibiliti yang baik serta aliran pendapatan yang stabil.
Ia berkata, hartanah tersebut terletak secara strategik di tengah-tengah kawasan elit Mont Kiara, yang merupakan kawasan matang dengan populasi ekspatriat yang ramai, dan ia memenuhi kriteria lokasi strategik dengan infrastruktur yang baik, sekolah antarabangsa terkenal, pusat komersial sibuk, serta kemudahan hiburan dan rekreasi.
"Hartanah tersebut, yang terletak kurang 500 meter dari Plaza Mont Kiara, salah satu aset runcit sedia ada Sentral REIT, membolehkan Sentral REIT mengambil kesempatan ke atas skala ekonomi yang lebih besar di kawasan kejiranan Mont Kiara.
"Ia juga menikmati kadar penyewaan penuh dengan struktur sewa berdasarkan jumlah hasil kasar selain struktur sewa tetap," katanya.
Sentral REIT menjangkakan hartanah tersebut akan menambah nilai kepada pemegang unit dalam jangka masa panjang.