News & Articles Mah Sing rekod jualan hartanah RM1.01 bilion dalam lima bulan
Mah Sing rekod jualan hartanah RM1.01 bilion dalam lima bulan
3 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd merekodkan RM1.01 bilion jualan hartanah baharu dalam tempoh lima bulan 2025 berbanding RM992 juta yang dicapai dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Disokong momentum jualan yang kukuh dan tumpuan strategik pada tawaran mampu milik Siri M, Mah Sing mempunyai lebih banyak pelancaran pada separuh kedua 2025, merangkumi wilayah tengah, utara dan selatan.
Kumpulan tetap yakin untuk mencapai sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM2.65 bilion minimum, sementara jualan yang belum dibilkan kira-kira RM2.73 bilion, sekali gus menawarkan keterlihatan yang jelas untuk pendapatan menuju ke depan.
Mah Sing mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM91.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, meningkat 11.4 peratus berbanding RM82.1 juta suku sama tahun sebelumnya.
Pendapatannya meningkat 16.4 peratus kepada RM649.7 juta berbanding RM558.2 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya
Mah Sing berkata, pertumbuhan kukuh itu mencerminkan tumpuan berterusan kumpulan terhadap kecekapan operasi, pelaksanaan berdisiplin dan tawaran yang dipacu pasaran.
Kumpulan membayar dividen sebanyak 4.5 sen pada 26 Mei 2025, mewakili kira-kira 48 peratus pembayaran, melepasi dasar pembayaran minimum 40 peratus pihaknya dan mencerminkan komitmen berterusannya untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham sambil menyokong pertumbuhan yang mampan.
"Prestasi kewangan Mah Sing yang mantap pada awal 2025 menyerlahkan daya tahan dan ketangkasan syarikat dalam mengemudi landskap hartanah yang dinamik.
"Pengurusan modal kumpulan yang berhemat dan pelaksanaan operasi yang kukuh telah membolehkannya mengekalkan lembaran imbangan yang sihat dengan kira-kira RM1 bilion tunai, baki bank dan pelaburan jangka pendek setakat 30 Mei 2025, dan penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.17 kali pada 31 Mac 2025," katanya.
Mah Sing berkata, bagi 2025, pemaju hartanah itu mempunyai lebih RM3.3 bilion pelancaran hartanah baharu yang dirancang.
Projek yang baharu dilancarkan telah menarik minat yang kuat dalam tempoh lima bulan tahun ini, termasuk Fasa 1A Impira M Legasi di Semenyih; Residensi Suria Madani di Taman Desa; Fasa 4A5 Allamanda dan Fasa 1B Jasmine of Meridin East, serta Fasa 2B M Tiara di Johor Bahru.
Mah Sing juga memperkukuh strategi pendapatan berulangnya dengan meletakkan semula aset komersil sedia ada terpilih ke dalam gaya hidup bertenaga dan destinasi untuk tinggal, bekerja dan meneroka.
Kumpulan juga sedang meneroka hab penjagaan kesihatan dan kesejahteraan yang komprehensif dalam aset komersilnya yang sedia ada, Icon City 2 di Petaling Jaya, yang dibayangkan sebagai pusat sehenti untuk perkhidmatan perubatan, kesihatan dan makanan dan minuman (F&B), memberi perkhidmatan kepada semua peringkat umur dan mempromosikan kesejahteraan holistik.