'Semak latar belakang sebelum lantik peguam hartanah, elak jadi mangsa penipuan' - HartaGuam
KUALA LUMPUR: Penipuan dalam urusan jual beli tanah boleh dielakkan sekiranya peguam yang dilantik menjalankan tugas mereka dengan amanah.
Justeru memilih peguam yang berkredibiliti dan berintegriti adalah proses yang amat penting dalam memastikan urusan jual beli hartanah berjalan lancar, seterusnya mengelak berlaku penipuan dan pecah amanah.
Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Datuk Nazri Mustafa, berkata langkah melantik peguam dalam urusan jual beli hartanah, terutama membabitkan nilai mencecah jutaan ringgit adalah perkara yang wajar sebagai pemudah cara urusan.
Beliau berkata, pelantikan peguam oleh kedua-dua pihak juga amat penting sebagai 'check and balance' atau semak dan imbang sepanjang urusan jual beli dijalankan sehingga ia selesai.
"Namun proses melantik peguam perlu dilakukan dengan teliti termasuk mengetahui latar belakang peguam yang akan dilantik. Lebih baik pergi ke pejabat peguam itu sendiri untuk lihat sendiri keadaan firma guamannya.
"Selain itu, dapatkan pandangan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu sebelum lantik mana-mana peguam atau kita boleh semak 'review' (ulasan) tentang kes yang pernah dikendalikan mereka menerusi media sosial atau sebagainya," katanya kepada BH, hari ini.
Nazri berkata, semakan latar belakang juga boleh dibuat menerusi laman sesawang atau media sosial rasmi firma guaman peguam terbabit.
Selain itu, katanya peguam yang akan dilantik itu sebaiknya mempunyai rakan kongsi, yang boleh memantau urusan jual beli terbabit berbanding peguam yang bergerak sendirian.
"Itu antara langkah yang boleh dibuat, namun ia tidak menjamin 100 peratus akan ketelusan peguam berkenaan, namun ia adalah lebih baik daripada kita tidak kenal peguam itu langsung.
"Namun kita juga faham sesetengah golongan seperti yang duduk di luar bandar atau dalam kalangan warga emas, mereka tidak ada pengetahuan atau kemampuan untuk membuat segala semakan sedemikian.
"Justeru, jika sudah lantik mana-mana peguam, maka perlu kerap hubungi peguam terbabit, minta salinan segala dokumen yang berkaitan serta dapatkan perkembangan daripada semasa mengenai urusan jual atau beli hartanah yang diuruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes penipuan urusan penjualan tanah bernilai RM3.5 juta milik seorang lelaki warga emas yang disyaki ditipu peguam yang menguruskan proses jual beli itu.
Mangsa berusia 63 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menandatangani perjanjian urusan jual beli dua tanah lot miliknya dengan nilai RM3.5 juta kepada sebuah syarikat, pada 25 Oktober 2022.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, dalam kes sedemikian, peguam terbabit dipercayai melakukan pecah amanah dengan tidak membayar wang hasil jualan tanah itu kepada mangsa.
"Peguam sewajarnya menjalankan kerja dengan amanah, namun mereka pun manusia juga, ada sifat negatif dalam diri dan ditambah jika mereka ada tekanan dengan masalah kewangan. Ia membuka peluang untuk dia melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
"Di pihak penjual (mangsa) pula, mungkin dia tidak melantik sendiri peguam untuk mewakilinya dan hanya bergantung kepada peguam yang dilantik oleh syarikat pembeli," katanya.
Katanya, dalam kes itu, pihak pembeli mungkin sudah menyerahkan wang bayaran kepada peguam, namun wang berkenaan tidak sampai kepada penjual atau melengah-lengahkan pembayaran.
"Isu seperti ini memang boleh berlaku kerana kita sebagai masyarakat biasa bukan selalu kita menjual tanah, kita tidak faham proses dan prosedur, maka kita beri kepercayaan penuh kepada peguam.
"Justeru, dalam kes penipuan oleh peguam sebegini, selain membuat laporan polis, mangsa juga boleh membuat aduan kepada Majlis Peguam (Bar Council) atas salah laku peguam berkenaan.
"Ini bagi membolehkan Majlis Peguam jalankan siasatan dan seterusnya menggantung atau membatalkan lesen guaman peguam terbabit, namun proses ini ambil sedikit masa," katanya.
Selain itu, katanya, susulan kejadian itu mangsa boleh memfailkan tuntutan saman sivil untuk menuntut balik wang yang telah digelapkan peguam berkenaan.
"Peguam sewajarnya menjadi pihak yang boleh dipercayai, namun bila berlaku perkara seperti ini, ia akan mengikis kepercayaan orang ramai kepada institusi guaman.
"Mereka sepatutnya menjadi orang tengah, pemudah cara, menjaga kepentingan dalam konteks jual beli hartanah dan perlu memastikan penjual menerima wang jualan dan pembeli mendapat hartanah yang didaftar atas namanya, itu yang penting," katanya.
Source: Bharian.com.my