MEMBELI rumah bukan sesuatu perkara yang perlu dipandang ringan kerana ia memerlukan banyak komitmen terutama selepas menandatangani surat pembelian.
Apatah lagi jika anda adalah orang yang baharu kali pertama ingin membeli rumah, seharusnya perlu membuat pelbagai 'kerja rumah' bagi memastikan rumah yang ingin dibeli itu sesuai dengan bajet dan cita rasa peribadi.
Pada awal tahun mungkin ada juga antara kita sudah meletakkan sasaran untuk membeli rumah dan ingin menjadikannya sebagai satu kenyataan sebagai azam pada tahun ini.
Justeru, pada kali ini P&P ingin kongsikan beberapa tip terutama pembeli rumah pertama yang mungkin boleh dijadikan panduan secara umum.
1. Tetapkan had bajet
Ketika ini di pasaran hartanah ada pelbagai jenis rumah yang ditawarkan. Harga ditawarkan juga berbeza mengikut lokasi, jenis rumah dan kemudahan yang disediakan.
Sebagai pembeli rumah pertama anda perlu meletakkan bajet yang sesuai dengan kemampuan aliran tunai peribadi kerana membeli rumah biasanya membabitkan pembiayaan jangka panjang dengan bank.
Sekiranya anda meletakkan harga rumah hanya di bawah RM300,000 pastikan anda hanya mencari rumah dalam kadar itu. Elakkan harga yang lebih daripada kadar itu kerana ia boleh menjadikan anda mungkin mengalami masalah aliran tunai peribadi pada masa depan.
Bajet ini juga perlu dikira daripada segi harga rumah, kos membaik pulih, pengubahsuaian dan membeli barangan kelengkapan dalam rumah selepas mendapat kunci.
Senaraikan kos yang mungkin akan anda dibayar selepas membeli rumah berkenaan supaya aliran peribadi dalam keadaan selesa dan tidak membebankan pada masa depan.
2. Membuat tinjauan hartanah
Ia antara elemen penting bagi memastikan anda mendapat hartanah yang sesuai dengan cita rasa peribadi, bajet dan keselesaan pada masa depan.
Jangan terburu-buru dalam membuat keputusan untuk membeli sesuatu hartanah. Sebaiknya ambil sedikit masa membuat tinjauan kerana perkara ini amat membantu bagi memastikan anda mendapat unit rumah terbaik.
Antara perkara yang boleh diambil kira ketika membuat tinjauan hartanah adalah mengenai harga, jenis rumah, lokasi dan pembangunan kawasan sekitar pada masa depan serta potensi kenaikan harganya.
Perkara ini penting bagi memastikan anda mendapat hartanah yang terbaik terutama jika ia sebagai satu aset pelaburan pada masa depan. Ini kerana ada projek rumah yang mempunyai nilai sama atau lebih rendah pada masa depan.
3. Bukan kawasan yang terdedah dengan bencana
Di Malaysia kejadian banjir bukan sesuatu perkara yang asing. Justeru, anda perlu pastikan rumah yang ingin dibeli itu bukan terletak di kawasan mempunyai potensi berlaku banjir.
Banjir di kawasan rumah memberi kesan buruk kepada si pemilik terutama perlu berbelanja besar untuk membaiki rumah yang rosak akibat bencana berkenaan.
Jika rumah yang hendak dibeli itu berdekatan sungai, selidik dengan orang setempat mengenai potensi kawasan rumah itu sentiasa dinaiki air atau tidak.
Ini kerana ada kawasan perumahan yang berdepan dengan sungai ada ditawarkan pada harga murah.
Malah, untuk menyewakannya juga agak sukar. Situasi itu pastinya menjadikan anda sebagai pemilik mengalami kerugian.
4. Lokasi
Elemen lokasi antara perkara yang sering menjadi faktor pemilik hartanah untuk memuktamadkan urusan pembelian.
Ia juga memberikan pengaruh sangat kuat dari segi nilai hartanah dan kesenangan pada masa depan untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
Pastikan lokasi yang anda pilih itu mempunyai kemudahan komersial yang sudah membangun atau bakal membangun pada masa depan seperti akses jalan raya ke pusat bandar, sekolah, pusat perubatan dan pusat komersial supaya semuanya terletak berhampiran.
Sekiranya kawasan yang anda ingin beli itu adalah kawasan baharu ingin dibangunkan, boleh bertanya kepada pemaju mengenai perancangan pembangunan pada masa depan dan sudah semestinya mereka mempunyai pengetahuan mengenainya.
5. Pemaju berkualiti
Kualiti rumah berkait rapat dengan rekod pemaju yang mempunyai kualiti kerja yang baik. Ia perlu diambil kira supaya ada membeli rumah yang tidak mengalami masalah selepas mendapat kunci.
Ketika ini untuk melihat rekod kualiti pemaju juga tidak sukar kerana boleh dibaca menerusi komen yang diberikan pembeli rumah mereka terdahulu di media sosial.
Sekiranya ada banyak komen negatif mengenai kualiti rumah itu, anda perlu lebih berwaspada untuk memuktamadkan pembelian kerana khuatir perlu menampung kos baik pulih pada masa depan.