News & Articles Penting Lantik Peguam

Penting Lantik Peguam


23 Nov 2020
Penting Lantik Peguam
Masih ada dalam kalangan masyarakat yang bertanya, adakah sebagai pembeli mahupun penjual wajib melantik dan menggunakan khidmat peguam hartanah bagi urusan transaksi jual beli hartanah itu.

Bolehkah pembeli mahupun penjual hartanah itu uruskan sendiri tanpa perlu mendapatkan dan menggunakan khidmat seorang peguam hartanah.

Menjelaskan persoalan itu, peguam hartanah berpengalaman, Wan Shahranita Saharan berkata, amat penting bagi seorang pembeli mahupun penjual melantik dan menggunakan khidmat peguam hartanah untuk mengendalikan satu-satu urusan transaksi jual beli hartanah.

Katanya, peguam hartanah bertindak sebagai pemudah cara bagi satu-satu urusan transaksi jual beli hartanah di mana mereka secara profesional akan membantu pembeli mahupun penjual daripada awal proses sehinggalah selesai urusan mengikut amalan guaman yang teratur.
"Prosedur urusan transaksi jual beli hartanah bukanlah semudah yang difikirkan.

"Ada situasi jual beli hartanah yang sukar dan membabitkan proses yang lebih lama malah prosedur yang lebih rumit dan sebaiknya biarlah peguam hartanah ini yang bantu untuk sempurnakan bagi pihak pembeli dan penjual.

"Sekiranya kita tiada asas perundangan atau tidak mahir dalam urusan perundangan hartanah, saya nasihatkan lantik peguam hartanah yang mahir dan berpengalaman sebagai pemudah cara dalam mengendalikan urusan guaman berkaitan hartanah bagi pihak anak guam," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, peguam hartanah akan meneliti setiap dokumen yang berkaitan bagi urusan transaksi jual beli hartanah seperti hak milik hartanah atau juga dikenali sebagai geran, perjanjian terdahulu antara penjual dan pemilik sebelumnya, perjanjian pinjaman terdahulu penjual, cukai tanah, cukai pintu dan lain-lain dokumen yang peguam hartanah nasihatkan perlu disediakan oleh pembeli mahupun penjual.

"Mereka memberikan khidmat nasihat perundangan berkaitan urusan dan prosedur yang akan diguna pakai dalam satu-satu urusan transaksi jual beli mengikut situasi hartanah," katanya.

Tambahnya, peguam hartanah bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat perundangan berkaitan hartanah mengikut jenis dan situasi hartanah yang dijual beli dan prosedur yang akan diguna pakai dalam satu-satu transaksi jual beli hartanah memandangkan setiap hartanah yang dijual beli adalah berbeza.

"Ada hartanah yang mempunyai geran individu di mana geran sudah sempurna didaftarkan atas nama penjual sebagai pemilik berdaftar dan ada hartanah yang geran individu masih berdaftar atas nama pemaju dan belum dipindah milik ke atas nama penjual dan ada juga hartanah yang masih di bawah hak milik induk dan penjual hanyalah pemilik berkepentingan sahaja bagi hartanah itu dan pelbagai lagi situasi," katanya.

Beliau berkata, sebaik sahaja dokumen berkenaan hartanah yang ingin dijual beli diteliti, peguam akan membuat semakan terperinci dengan membuat carian (hartanah) di pejabat tanah berkenaan untuk menyemak status terkini hartanah dan carian status kebankrapan ke atas pembeli dan penjual sebelum urusan transaksi jual beli hartanah diteruskan.

"Selepas carian hartanah diperoleh, mereka akan meneliti dan menyemak setiap satu maklumat yang tercatat untuk memastikan urusan dan prosedur yang betul dijalankan bagi transaksi jual beli hartanah tersebut mengikut situasi hartanah yang berkaitan.

"Peguam hartanah akan menyediakan Perjanjian Jual Beli dan dokumen berkaitan jual beli hartanah mengikut jenis hartanah, situasi dan prosedur yang akan diguna pakai dalam urusan transaksi jual beli hartanah," katanya.

Kemudian, peguam hartanah akan mendraf terma dan syarat Perjanjian Jual Beli hartanah untuk melindungi hak dan kepentingan pembeli dan penjual di dalam urusan transaksi jual beli hartanah selari dan mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia yang ditetapkan.

"Urusan jual beli hartanah membabitkan pelbagai peruntukan undang-undang di Malaysia yang berkaitan dan terpakai antaranya termasuklah Akta Kontrak, Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata, Akta Pemajuan Perumahan, Akta Setem, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah dan banyak lagi.

"Peguam hartanah akan memastikan Perjanjian Jual Beli dan dokumen yang disediakan adalah teratur dan lengkap mengikut jenis hartanah, situasi dan prosedur yang akan dilaksanakan sebelum mengatur temu janji bersama anak guam sama ada pembeli mahupun penjual untuk menandatangani Perjanjian Jual Beli dan dokumen yang berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, peguam hartanah bertanggungjawab untuk memberi penerangan yang jelas kepada anak guam berkenaan terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Jual Beli dan kos-kos yang terbabit supaya pembeli dan penjual lebih memahami akan urusan transaksi jual beli hartanah yang akan dilaksanakan sehingga urusan jual beli hartanah itu selesai.

"Perjanjian Jual Beli dan dokumen berkaitan urusan transaksi jual beli hartanah itu hendaklah ditandatangani oleh pembeli mahupun penjual di hadapan seorang peguam yang mempunyai sijil amalan guaman yang sah sebagai saksi.

"Peguam hartanah ini yang akan melindungi hak dan kepentingan pembeli mahupun penjual dalam urusan transaksi jual beli hartanah sejak dari awal urusan transaksi lagi," katanya.

Katanya, urusan transaksi jual beli hartanah membabitkan banyak pihak termasuklah pembeli atau penjual itu sendiri, pihak berkuasa, agensi kerajaan dan sebagainya.

"Oleh itu, bagi memastikan urusan transaksi jual beli hartanah berjalan lancar dan seiring dengan prosedur yang akan dilaksanakan, peguam hartanah memainkan peranan utama memudahcara urusan dengan berkomunikasi dan berhubung dengan pihak-pihak yang berkenaan yang terbabit di dalam urusan jual beli hartanah bagi pembeli mahupun penjual daripada awal proses sehinggalah selesai urusan jual beli hartanah itu," katanya.

Mengulas lanjut, peguam hartanah akan memastikan urusan pindah milik hartanah daripada penjual kepada pembeli sempurna mengikut terma dan syarat yang ditetapkan di dalam Perjanjian Jual Beli.

"Dalam satu-satu urusan transaksi jual beli hartanah, peguam hartanah juga bertindak sebagai pemegang taruh yang bertanggungjawab ke atas semua bayaran yang dibayar oleh pembeli bagi tujuan transaksi jual beli hartanah seperti bayaran deposit, baki jual beli hartanah dan lain-lain sebelum bayaran terbabit boleh dilepaskan kepada penjual.

"Peguam hartanah akan memastikan pembayaran harga jual beli hartanah adalah mengikut terma dan syarat yang ditetapkan di dalam Perjanjian Jual Beli.

""Selepas urusan transaksi jual beli menghampiri ke prosedur akhir di mana baki jual beli sudah dilepaskan kepada penjual mengikut terma dan syarat yang terkandung di dalam Perjanjian Jual Beli, peguam hartanah akan memastikan penyerahan kunci dan milikan kosong hartanah daripada penjual kepada pembeli disempurnakan sebelum urusan tukar nama ke atas bil-bil utiliti bagi hartanah itu dilaksanakan oleh pembeli yang kini menjadi pemilik baharu," katanya.

Source: HarianMetro

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor