News & Articles Glomac lancar projek Primrose di Saujana KLIA

Glomac lancar projek Primrose di Saujana KLIA


19 Mar 2021
Glomac lancar projek Primrose di Saujana KLIA
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Bhd, melancarkan fasa terbaharu pembangunan kediaman mampu miliknya iaitu Primrose, berkeluasan 3.7 hektar di perbandaran Saujana KLIA, dekat Sepang.

Ketua Pemasaran dan Penjualan Glomac, Kim Neoh, berkata Primrose adalah projek rumah teres dua tingkat yang mengandungi 123 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM72 juta.

Katanya, projek yang dijangka siap pada Mei 2023 itu adalah dua projek terakhir rumah teres dua tingkat yang ditawarkan di perbandaran itu.

"Projek ini menawarkan rumah berkeluasan 20x60 untuk unit tengah dengan saiz binaan 1,560 kaki persegi pada harga dari RM498,800 seunit.

"Pembangunan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pembeli rumah pertama dan pembeli profesional yang muda serta pelabur yang mencari hartanah kediaman yang jauh dari kesibukan kota.

"Kami ambil maklum dan yakin bahawa pengguna sememangnya menantikan pembangunan kediaman mampu milik sebegini," katanya pada taklimat mengenai pembangunan hartanah berkenaan secara maya hari ini.

Neoh berkata, Primrose adalah sebahagian daripada pembangunan Saujana KLIA (SKLIA) seluas 93.48 hektar dengan GDV sebanyak RM1.3 bilion.

"Setakat ini, Glomac menjayakan tujuh pembangunan kediaman yang terdiri daripada 905 unit rumah teres dua tingkat dan sebuah hab komersial yang terdiri daripada 72 buah kedai pejabat dengan anggaran GDV sebanyak RM560juta.

"Glomac akan terus membina kediaman pada masa hadapan untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya.

Pembeli Primrose berpeluang menikmati rebat daripada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2.0 yang masih ditawarkan dan bakal berakhir tidak lama lagi.

Penduduk perbandaran itu juga bakal menikmati kemudahan rumah kelab yang kini sedang di peringkat perancangan reka bentuk dan dijangka siap dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Mula dibangunkan pada 2015, SKLIA dirancang sebagai pembangunan kediaman bercampur di pinggir bandar dengan pelbagai jenis rumah atas tanah mampu milik seperti rumah teres dua tingkat berukuran 20x70 dan 20x75, banglo, kedai pejabat , pangsapuri dan rumah bandar sebesar 24x60 dan 22x70 (Rumah Selangorku).

SKLIA terletak di lokasi strategik yang berdekatan dengan kemudahan-kemudahan seperti institusi pendidikan, pusat komersial, pusat pengangkutan awam, pusat logistik strategik,

kemudahan penjagaan kesihatan dan kawasan rekreasi.

Ia boleh diakses melalui lebuh raya utama iaitu Lebuh Raya KESAS, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Maju (MEX), Lebuh Raya ELITE, Lebuh Raya KLIA dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor