News & Articles Bank Muamalat sedia pembiayaan penuh projek UDA

Bank Muamalat sedia pembiayaan penuh projek UDA


2 Apr 2021
Bank Muamalat sedia pembiayaan penuh projek UDA
KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menawarkan kemudahan pembiayaan sehingga 100 peratus bagi pemilikan hartanah di bawah projek UDA Holding Bhd (UDA).

Ketua Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden, berkata kemudahan pembiayaan dengan kerjasama UDA itu bertujuan meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, terutama golongan B40.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, Bank Muamalat menyasarkan pembiayaan sebanyak RM100 juta sehingga akhir tahun ini bagi projek hartanah UDA terutamanya projek rumah mampu milik Residensi Akasia Jubilee.

"Bank Muamalat menjalin kerjasama strategik dengan UDA bagi menawarkan pembiayaan projek hartanahnya. Pembeli projek hartanah UDA bakal mendapat pembiayaan sehingga 100 peratus selain permohonan dan kelulusan yang pantas serta mudah.

"Sebagai bank yang sentiasa mengutamakan pelanggan, kami mahu lebih ramai golongan mampu memiliki hartanah.

"Bank Muamalat juga menyediakan beberapa skim seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah PertamaKu (SRP) dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd dan Cagamas Bhd," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) Bank Muamalat dan UDA di Kuala Lumpur, semalam.

MoU dimeterai antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

Zury berkata, melalui MoU itu, Bank Muamalat bakal menawarkan kadar keuntungan dan terma kompetitif untuk pembelian hartanah melalui pembiayaan akhir kepada pembeli berpotensi yang mempunyai penilaian kredit yang memuaskan.

Beliau berkata, Bank Muamalat dan UDA akan bersama-sama menganjurkan persidangan, seminar, jerayawara, ceramah dan aktiviti pemasaran di seluruh negara dalam usaha memasarkan dan berkongsi maklumat berhubung pakej pembiayaan dan hartanah yang ditawarkan melalui MoU itu.

Sementara itu, Mohd Salem berkata, sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), UDA sentiasa menawarkan penyelesaian terbaik bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah mampu milik.

Beliau berkata, MoU itu diharap dapat membantu lebih ramai golongan memiliki hartanah di tengah bandar dan di sub-bandar, terutama usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, usahawan PKS kebiasaannya tidak mempunyai dokumen seperti slip gaji yang menyukarkan mereka untuk mendapatkan pembiayaan pembelian rumah.

"Kerjasama ini membolehkan individu dan PKS memiliki rumah dan mendapatkan pembiayaan. Ini kerana, Bank Muamalat melalui skim SJKP dan SRP boleh membantu memudahkan pembiayaan ini.

"Ini secara tidak langsung dapat membantu menaik taraf kehidupan mereka agar terus berkembang maju.

"Pakej pembiayaan perumahan Bank Muamalat dan hartanah oleh UDA ini, dapat memudahkan lagi semua golongan dan peringkat memiliki hartanah sendiri," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor