News & Articles Mah Sing sasar jualan hartanah RM1.6 bilion
Mah Sing sasar jualan hartanah RM1.6 bilion
3 May 2021
KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd menyasarkan untuk mencapai jualan hartanah bernilai RM1.6 bilion tahun ini dengan menumpukan kepada segmen perumahan bertanah mampu milik sejajar dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi dan unjuran pemulihan kuasa membeli.
Pemaju hartanah itu berkata, sasaran itu akan dicapai melalui asas yang kukuh, strategi pemasaran yang inovatif dan rangkaian produk yang responsif, iaitu sembilan peratus rumah berharga lebih daripada RM700,000, 40 peratus (dari RM500,001 hingga RM700,000) dan 51 peratus (RM500,000 ke bawah).
"Pada Februari 2021, kami meneruskan momentum dengan mengumumkan rancangan untuk membangunkan tanah baharu seluas 40.46 hektar di Sepang, yang terdiri terutamanya rumah mampu milik, M Senyum, yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM656 juta," katanya dalam laporan tahunan 2020.
Mengenai perniagaan pembuatan sarung tangan, syarikat itu berkata ia menjangkakan permintaan terhadap sarung tangan kekal berdaya tahan walaupun selepas pandemik susulan peraturan yang lebih ketat dan kesedaran tinggi mengenai kepentingan amalan kebersihan.
Ini terutama dalam pasaran baharu muncul yang mana penggunaan sarung tangan per kapita masih rendah.
"Kami akan berusaha untuk penyenaraian bahagian pembuatan atau penjagaan kesihatan kami secara berasingan untuk membuka nilai yang lebih baik bagi pemegang saham Mah Sing," katanya.
Ia berkata, syarikat optimis dengan potensi pertumbuhan jangka panjang industri sarung tangan dan berusaha untuk mengisi permintaan semasa dan jurang bekalan melalui keupayaan pengeluarannya dalam sarung tangan nitril dan lateks.
"Selain pembuatan sarung tangan jenama sendiri (OBM) di bawah MS Glove, Mah Sing juga akan menghasilkan sarung tangan pengeluaran pengeluar peralatan tulen (OEM) dan kumpulan itu akan meneroka kemungkinan pembuatan sarung tangan bukan perubatan, industri dan sarung tangan lain pada tempoh pertengahan hingga jangka panjang," katanya.