PKP 3.0: Teruskan moratorium bersasar kepada pekerja
PETALING JAYA: Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) digesa terus membantu rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi pemberian moratorium bersasar secara terus kepada para pekerja dan mengarahkan institusi perbankan memberikan fleksibiliti kepada para peminjam.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, ini dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung majikan dan peniaga kerana kos operasi setiap syarikat terbahagi kepada tiga elemen utama iaitu bahan mentah, gaji pekerja serta kos sewa pejabat dan operasi.
Ujarnya, jika pekerja mendapat moratorium untuk pinjaman perumahan, kenderaan dan kad kredit daripada pihak bank, mereka tidak akan terjejas sekiranya majikan terpaksa memotong sebahagian gaji untuk memulihkan aliran tunai syarikat tempat mereka bekerja.
“Ia seumpama domino effect, sekiranya aliran tunai syarikat terjejas, majikan terpaksa memotong gaji pekerja. Namun, jika pekerja diberikan moratorium untuk pinjaman bank, mereka dapat bertahan walaupun gaji dipotong sementara.
“Dengan itu, majikan dapat menumpukan untuk memulihkan semula perniagaan kerana kos dapat dikurangkan. Ini juga bagi memastikan syarikat dapat bertahan dalam tempoh sukar dan tiada pemberhentian pekerja dibuat.
“Apabila ekonomi pulih, syarikat dapat beroperasi seperti biasa dan pekerja akan dapat semula gaji penuh seperti biasa. Pada waktu itu, ekonomi akan pulih dan kadar pengangguran yang tinggi dapat dielakkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jelas Norsyahrin, Program Subsidi Upah (PSU) yang diberikan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terbukti sangat berkesan kerana penyaluran upah yang terus kepada pekerja.
“Pembayaran dibuat mengikut senarai pencarum yang mencarum setiap bulan, jadi majikan tidak boleh salah guna subsidi upah ini. Oleh itu, DPMM berharap kerajaan akan meneruskan program ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaksanaan PKP sudah tentu menjejaskan perniagaan dan ekonomi kerana orang ramai tidak boleh keluar berbelanja seperti biasa.
“Walaupun sektor ekonomi tidak ditutup, namun perniagaan dijalankan dengan batas tertentu. Golongan B40 pula sudah tentu akan membelanjakan 100 peratus gaji mereka untuk membeli barang keperluan dan tidak boleh menyimpan. Jika mereka terjejas, ekonomi akan ‘beku’ dan tidak berpusing.
“Hakikatnya sepanjang PKP 1.0 dan 2.0 rakyat juga yang telah membelanjakan pengeluaran wang mereka melalui i-Sinar dan i-Lestari yang secara keseluruhan berjumlah RM75 bilion, sekali gus membantu kerajaan menyokong ekonomi negara dari segi perbelanjaan,” katanya.
Terdahulu, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus menegaskan PKP 3.0 yang diumumkan tidak akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara seperti yang pernah dilihat pada suku kedua tahun lepas kerana pemulihan ekonomi negara masih di landasan yang baik meskipun terdapat beberapa cabaran. – UTUSAN ONLINE
Source: Utusan.com.my