News & Articles Sekatan pergerakan penuh jejas pasaran hartanah

Sekatan pergerakan penuh jejas pasaran hartanah


21 Jun 2021
Sekatan pergerakan penuh jejas pasaran hartanah
KUALA LUMPUR: Sekatan pergerakan penuh yang sedang dilaksanakan dijangka memberi kesan negatif kepada penjualan dan pemilikan hartanah pada suku kedua 2021, demikian menurut Maybank IB Research.

Bagaimanapun, ia berkata bagi keseluruhan 2021, industri hartanah kekal bergerak ke arah pemulihan berdasarkan kepada kadar faedah yang rendah selain peningkatan semula permintaan dan penjualan.

Cabang penyelidikan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) itu berkata, walaupun kerja pembinaan dibenarkan untuk terus beroperasi, industri hartanah tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran lain seperti prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Malah, katanya, industri turut berdepan dengan kekurangan bahan mentah disebabkan sekatan pergerakan dan larangan operasi pengeluaran, sekali gus menyebabkan lonjakan harga.

"Ia menyebabkan kerja pembinaan lebih perlahan. Dari segi penjualan pula, terdapat perjanjian jual beli (SPA) yang ditangguhkan sehingga sekatan pergerakan penuh ini tamat.

"Justeru, kami menjangkakan penurunan pendapatan untuk penjualan suku kedua 2021," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Maybank IB Research berkata, berdasarkan Laporan Suku Pertama 2021 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), industri hartanah masih menunjukkan isyarat positif.

Katanya, penjualan hartanah kediaman pulih 26 peratus tahun ke tahun, tetapi susut enam peratus suku ke suku disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 21 Januari lalu.

Sementara itu, unit kediaman yang tidak terjual juga turut susut 10 peratus (suku ke suku) dan 17 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2021.

"Penurunan unit tidak terjual ini hasil daripada rebat dan potongan harga diberikan oleh pemaju hartanah.

"Berdasarkan penyelidikan kami dengan pemaju hartanah, penjualan yang dicapai di bawah kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2020 lebih baik berbanding HOC 2019," katanya.

Maybank IB Research menetapkan saranan 'neutral' ke atas industri hartanah kerana ketidaktentuan politik selepas proklamasi darurat yang dijadual tamat pada 1 Ogos 2021 membayangi asas sektor.

Katanya, harga saham industri hartanah sebahagian besarnya kelihatan positif dan berpotensi melangkau harga sasaran.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor