News & Articles KWSP terus tumpu pelaburan domestik
KWSP terus tumpu pelaburan domestik
2 Jul 2021
KUALA LUMPUR: Pelaburan domestik akan terus menjadi tumpuan penting Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meskipun pendedahan globalnya semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata adalah penting untuk diambil perhatian bahawa KWSP mewakili komponen utama dalam pasaran pelaburan Malaysia.
Katanya, ia di sebalik fakta bahawa KWSP telah mengembangkan pendedahan antarabangsanya dengan kukuh, daripada 21 peratus pada 2013 kepada 36 peratus pada suku pertama lalu.
"Komitmen KWSP terhadap pasaran tempatan kekal berkembang dengan teguh dengan kami terus meningkatkan pelaburan di negara ini dalam pendapatan tetap dan ekuiti.
"Secara asasnya, jika lihat pada pelaburan domestik, KWSP adalah pemain utama dalam pasaran Malaysia dengan memegang 11 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran FBM100, selain 27 peratus dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang diterbitkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan 'MIDF Conversations' secara maya yang julung kali diadakan hari ini.
Sesi itu dikendalikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP telah mempelbagaikan pendedahannya di peringkat antarabangsa dengan telah melabur di lebih 40 negara dan 29 mata wang.
Katanya, secara keseluruhannya, KWSP menggunakan Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi menguruskan dana di bawahnya.
"Ketika ini, di bawah SAA, 46 peratus pelaburan adalah dalam pendapatan tetap. Secara asasnya, memandangkan kami adalah dana persaraan, maka pengekalan modal adalah kunci utama untuk melindungi pelaburan anggota untuk jangka panjang.
"Kami juga telah membangunkan segmen pelaburan baharu iaitu di dalam hartanah dan infrastruktur yang mewakili enam peratus.
"Ekuiti pula merangkumi 44 peratus dan pasaran wang adalah empat peratus," katanya.
KWSP meraih pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meskipun berdepan dengan persekitaran tidak menentu berikutan COVID-19 yang masih berlarutan.
Ia peningkatan kira-kira 58 peratus berbanding RM12.16 bilion yang diraihnya pada suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2020.
Ekuiti, yang menyumbang 74 peratus kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion, manakala instrumen pendapatan tetap pula menyumbang sebanyak RM3.92 bilion.
Kelas aset hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang pula masing-masing menyumbang RM710 juta dan RM380 juta.