News & Articles Harga minyak sawit mentah dijangka terus meningkat

Harga minyak sawit mentah dijangka terus meningkat


19 Aug 2021
Harga minyak sawit mentah dijangka terus meningkat
KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan terus meningkat kepada sekitar RM4,000 hingga RM4,700 satu tan dalam enam bulan akan datang berikutan jangkaan permintaan yang lebih tinggi berbanding penawaran.

Pengarah Urusan Sime Darby Oils, Mohd Haris Mohd Arshad, berkata sokongan untuk komoditi itu dihidupkan oleh spekulator yang melihatnya sebagai kelas aset yang boleh dijadikan pelaburan.

"Kami agak risau terutama selepas melihat harga terus melonjak dan ini tidak semestinya perkara yang baik disebabkan jualan terus menurun, pelanggan dilihat sedang menahan diri dari pasaran," katanya semasa taklimat media secara maya mengenai keputusan kewangan suku kedua SDP hari ini.

Katanya lagi, sukar untuk melihat bagaimana MSM boleh didagangkan di bawah RM4,000 setan sekarang ini atau menokok kepada RM5,000.

"Dalam jangka panjang, ketika kami memasuki 2022 serta dengan harapan, hasil tanaman yang lebih baik dari hemisfera utara dan selatan, sepatutnya, MSM akan menyaksikan jajaran harga yang lebih berpatutan, mungkin di sekitar RM3,000 ke RM3,500 satu tan," tambahnya.


Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha menjangkakan pengeluaran tandan buah segar (TBS) syarikat untuk tahun kewangan 2021 akan setanding dengan tahun kewangan 2020 walaupun mengalami masalah kekurangan tenaga kerja yang berpanjangan.

"Keadaan ini bukan sahaja berlaku di SDP tetapi membabitkan semua peneraju lain di Malaysia. Seperti yang anda ketahui, kekurangan tenaga kerja ini akan berterusan untuk beberapa waktu.

"Ini memberi kesan yang besar kepada pengeluaran. Pengeluaran di Malaysia, khususnya seperti SDP, akan mencatat kejatuhan berbanding 2020.

"Tetapi SDP mempunyai kelebihan, tidak seperti banyak syarikat lain. Malaysia merangkumi sekitar 50 peratus kawasan ladang kami. Sebanyak 50 peratus pengeluaran kami datang dari Indonesia dan Kepulauan Solomon, Papua New Guinea," jelas beliau.

Pengeluaran 50 peratus dari luar Malaysia akan mengurangkan impak di ladang tempatan sehingga ke tahap tertentu.

Bagi tahun kewangan 2020, kumpulan telah mencatatkan pengeluaran TBS kepada hampir 9.3 juta tan.

Beliau ketika mengulas mengenai keputusan kewangan memberitahu kumpulan telah merekodkan prestasi yang baik walaupun terdapat banyak cabaran yang dihadapi, bermula daripada kekurangan tenaga kerja sehingga kepada hukuman yang dikenakan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat ke atas beberapa produk Malaysia

"Pihak lembaga dan pengurusan sedang memberi tumpuan bagi melindungi nilai pemegang saham, selain daripada membangunkan asas yang kuat termasuk mencari penyelesaian baharu untuk melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.

"Kami juga menyedari bahawa pandemik telah menyebabkan peningkatan pengangguran di Malaysia. Kami bernasib baik kerana dapat membantu dan telah melancarkan kempen bagi menjangkau rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan yang stabil dengan faedah perumahan dalam komuniti dan estet keluarga," tambahnya lagi. -BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor