SDP sasar jualan RM2.4 bilion
Kuala Lumpur: Sime Darby Property Bhd (SDP) yakin untuk mencapai sasaran jualan RM2.4 bilion pada tahun ini disokong prestasi jualan separuh pertama tahun ini yang kukuh sebanyak RM1.3 bilion.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Azmir Merican berkata, prospek untuk separuh kedua tahun ini dijangka lebih mencabar terutama disebabkan cabaran operasi daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan yang berterusan.
Katanya, walaupun sektor hartanah dibenarkan kembali beroperasi pada akhir Julai lalu, namun proses untuk mengembalikan momentum operasi syarikat akan mengambil masa memandangkan kerja perlu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi pelan jualan separuh kedua tahun ini adalah RM2.1 bilion. Selain itu, jualan belum dibil berjumlah RM1.8 bilion setakat 30 Jun 2021 menunjukkan potensi syarikat dalam meningkatkan perolehan masa hadapan," katanya pada sidang media secara maya, semalam.
Menurutnya, pihaknya menjangkakan pemulihan sektor hartanah akan mengambil tempoh sedikit panjang dan bersedia untuk meneruskan operasi bersama pandemik.
Katanya, masalah kelewatan pembinaan bukan hanya menjejaskan SDP sebaliknya seluruh pemain industri.
"Kesemua projek pembinaan di bawah SDP terpaksa ditangguhkan akibat sekatan pergerakan yang mana ia meliputi kira-kira 70 tapak pembinaan aktif.
"Projek yang terjejas ini bernilai kira-kira RM2.5 bilion hingga RM3 bilion. Ia bermakna kami tidak dapat merealisasikan jumlah berkenaan sehingga projek ini siap kelak.
"Namun, ia tidak bermakna kami berada dalam kerugian, sebaliknya hanya bil yang tertangguh," katanya.
Bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2021, SDP kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM19.90 juta daripada kerugian RM92.99 juta pada suku sama tahun kewangan 2020.
Perolehan pula meningkat kepada RM502.82 juta daripada RM288.22 juta bagi tempoh sama, dipacu terutama oleh segmen pembangunan hartanah yang merekodkan jualan kukuh bagi produk perindustrian dan kediaman.
Jualan produk kediaman meningkat ketara pada tempoh yang dinilai berbanding pada tahun sebelumnya, didorong usaha pemasaran dalam talian yang giat dengan disokong Kempen Pemilikan Rumah oleh kerajaan.
"Prestasi ini dirangsangkan khususnya oleh jualan lebih tinggi dan aktiviti pembangunan yang lebih rancak di projek City of Elmina, Elmina Business Park, Serenia City, Bukit Jelutong, Bandar Ainsdale, Nilai Impian, The Glades dan Senada, selain peningkatan jualan stok siap di KL East dan Serini," katanya.
Bagi segmen pengurusan aset dan pelaburan, SDP mencatatkan kerugian yang rendah iaitu RM0.6 juta disebabkan jualan dan aktiviti pemasaran yang perlahan, berbanding dengan kerugian RM2.6 juta pada suku sama sebelumnya.
Sementara itu, perolehan daripada segmen rekreasi susut sebanyak 11.6 peratus, terutama berikutan sumbangan berkurangan daripada aktiviti golf, acara dan majlis susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga akhir suku kedua.
Source: Hmetro.com.my