News & Articles Kerajaan diminta campur tangan kos bahan binaan mahal

Kerajaan diminta campur tangan kos bahan binaan mahal


22 Oct 2021
Kerajaan diminta campur tangan kos bahan binaan mahal
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta campur tangan sekiranya masalah kos material berpanjangan dan menjadi terlalu serius, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presiden Datuk Soam Heng Choon berkata, para pemain industri selalu menyokong pasaran bebas, tetapi beliau memaklumkan bahawa fenomena global seperti kenaikan harga minyak, tembaga, bauksit (untuk pembuatan aluminium), dan bijih besi (bagi menghasilkan keluli) sejak 12 bulan kebelakangan ini tidak dapat dielakkan.

"Malah, minggu ini saja, terdapat kenaikan ketara harga aluminium, tembaga dan keluli," katanya pada sidang media bagi mengumumkan tinjauan dan prospek pasaran hartanah REHDA pada separuh pertama 2021 (1H21), separuh kedua 2021 (2H21) dan separuh pertama 2022 (1H22).

Soam berkata pada satu atau dua bulan lalu, harga keluli turun daripada RM3,400 kepada RM3,100 tetapi semalam ia kembali ke paras RM3,300 hingga RM3,400.

"Oleh itu, harganya tidak stabil dan masih berada di tahap tinggi," tambahnya.

Harga batu-bata keluaran tempatan juga meningkat kerana sekatan pergerakan tetapi masalah ini kembali normal dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kerana sekatan telah dimansuhkan.

"Bagi material yang lain seperti tembaga, ia sebenarnya akan menyebabkan peningkatan kos yang besar pada bahan keluli lain yang berkaitan daripada batang tetulang, tingkap aluminium, peralatan mekanikal dan elektrik atau transformer.

"Oleh itu, pelbagai pihak telah membabitkan kerajaan, terutamanya Kementerian Kerja Raya untuk melihat bagaimana mereka dapat bersama membantu industri ini, dan kami percaya penglibatan yang kuat perlu dilakukan di antara industri dan pengilang bagi membantu menstabilkan keadaan semasa," katanya.

Soam berkata, REHDA menjangkakan pemulihan sepenuhnya industri akan berlaku dari 2022 seperti yang dibuktikan dalam tinjauan, yang mana responden lebih optimis terhadap pandangan 1H22, dengan syarat ekonomi, pasaran pekerjaan dan gaji meningkat.

Sebanyak 87 peratus responden percaya fasa endemik akan membantu mempercepatkan pemulihan hartanah di antara enam hingga 24 bulan.

Sebilangan besar daripada 180 responden, pesimistik terhadap pasaran pada 2H21, 36 peratus, merancang untuk melancarkan projek mereka, dan majoriti 64 peratus tidak memiliki projek pembangunan yang akan dilancarkan, dengan alasan keadaan pasaran yang tidak menguntungkan dan stok yang tidak terjual lebih tinggi.

Sebanyak 89 peratus daripada mereka yang akan melakukan pelancaran pada masa depan menjangkakan jualan sebanyak 50 peratus dan ke bawah. Sebanyak 9,319 strata, 5,549 bertanah dan 208 unit komersial akan dilancarkan ke pasaran pada 2H21.

Pemaju juga berharap dapat turut serta dalam Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk meningkatkan penjualan.

Beliau berkata 63 responden melancarkan projek mereka pada 1H21, dengan kebanyakan unit yang dijual adalah pangsapuri/kondominium dan rumah teres dua/tiga tingkat dengan harga jualan kebanyakannya di antara RM250,001 hingga RM500,000.

Bagi unit komersial, sebanyak 141 unit dilancarkan dan dibeli oleh kebanyakannya pembeli kali pertama.

Manakala unit yang tidak terjual, beliau berkata 82 peratus dan 67 peratus responden masing-masing memiliki kurang daripada 30 peratus unit kediaman dan komersial.

– BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties