News & Articles Pemansuhan cukai untung hartanah rancak pasaran - REHDA

Pemansuhan cukai untung hartanah rancak pasaran - REHDA


1 Nov 2021
Pemansuhan cukai untung hartanah rancak pasaran - REHDA
KUALA LUMPUR: Pemansuhan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) akan membantu menggiatkan pasaran hartanah Malaysia dan akhirnya diterjemahkan kepada kesan berganda positif kepada ekonomi, demikian mengikut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon, berkata REHDA menghargainya kerana kerajaan telah mengambil kira cadangan untuk memansuhkan CKHT ke atas rumah yang dilupuskan pada tahun keenam dan seterusnya oleh rakyat Malaysia dan penduduk tetap di negara ini.

"CKHT pada mulanya diperkenalkan untuk mengekang spekulasi apabila pasaran hartanah rancak tetapi dalam keadaan pasaran semasa yang lemah, kami mengalu-alukan langkah kerajaan memansuhkannya," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, berkata kerajaan tidak lagi akan mengenakan CKHT bagi pelupusan harta oleh rakyat individu, pemastautin tetap dan syarikat lain mulai tahun keenam dan seterusnya.

Beliau juga berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek perumahan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dengan jumlah peruntukan RM1.5 bilion.

Mulai tahun depan, kerajaan juga akan menyediakan jaminan RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk menyediakan akses kepada pembiayaan kepada pekerja gig, usahawan mikro dan petani, kata Tengku Zafrul.

Soam berkata, peruntukan dalam Bajet 2022 akan menggalakkan lebih ramai daripada kumpulan itu ke arah pembelian rumah kerana mereka kini mempunyai akses yang lebih mudah kepada pembiayaan rumah.

"Kesimpulannya, walaupun kami menghargai usaha dan pertimbangan yang diambil oleh kerajaan untuk menyediakan Bajet 2022 yang merangkumi semua dan seimbang, kami sebenarnya mengharapkan langkah positif lain ke arah pemulihan pasaran hartanah yang lebih pantas," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong, berkata peruntukan dalam Bajet 2022 untuk membina kediaman yang selesa dan berkualiti bagi segmen berpendapatan rendah adalah aspirasi murni kerajaan.

"Ini akan memastikan setiap rakyat termasuk segmen berpendapatan rendah mendapat akses kepada perumahan yang selesa dan berkualiti.

"HBA berharap perancangan, peruntukan, pengagihan dan pelaksanaan yang sewajarnya dilakukan untuk memastikan hartanah mampu milik ini dibina untuk golongan sasaran," katanya sambil menambah bahawa skim jaminan kredit perumahan harus dihadkan kepada pembeli rumah pertama kali dan hanya untuk hartanah mampu milik. -- Bernama

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties