News & Articles Malaysia antara negara guna bajet untuk agenda lestari

Malaysia antara negara guna bajet untuk agenda lestari


9 Nov 2021
Malaysia antara negara guna bajet untuk agenda lestari
KUALA LUMPUR: Malaysia adalah antara 10 negara di dunia yang menjajar sepenuhnya bajet negara dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) berdasarkan penilaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050 dan usaha itu juga turut dicerminkan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, kerajaan menggariskan semua inisiatif bajet berlandaskan SDG bagi membolehkan negara memenuhi landskap program pembiayaan nasional dengan projek berkaitan SDG.

"Kita adalah antara 10 negara di dunia yang menjajar sepenuhnya bajet nasional dengan matlamat SDG berdasarkan penilaian PBB.

Kami terus melakukannya dalam Bajet 2022. Bajet ini akan menjadi pemacu kepada beberapa inisiatif yang diumumkan dalam RMK-12.

"Secara keseluruhan, Bajet 2022 merangkumi langkah kelestarian, peralihan kepada amalan rendah karbon, alam sekitar dan biodiversiti, memperkasakan komuniti dan menerbitkan sukuk kelestarian pertama kerajaan dalam ringgit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temubual ucaptama Persidangan Maya Minggu Kewangan Lestari anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sempena Ekspo 2020 Dubai.

Persidangan itu diadakan dari 8 hingga 10 November 2021 bagi mengetengahkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan mampan dengan memanfaatkan keupayaan kewangan Islam negara.

Menuju ke depan, Tengku Zafrul berkata, Malaysia bercadang untuk menerbitkan lebih banyak bon dan sukuk yang memberi tumpuan kepada projek mesra sosial dan alam sekitar.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.

Katanya, komitmen itu penting untuk kerajaan mendorong pembaharuan supaya pertumbuhan mampan dan berdaya saing dalam pasaran global.

"Keutamaan pembangunan negara juga sejajar dengan matlamat pembangunan lestari," katanya.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar, berkata bon atau sukuk Islam dilihat sebagai instrumen pembiayaan yang berkesan bagi menguruskan peralihan kelestarian.

Beliau berkata, sejak 2014, kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.48 bilion) daripada Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) telah diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI Malaysia.

Katanya, terbitan itu merangkumi pelbagai projek hijau dan sosial, daripada tenaga solar dan pengurusan sumber asli yang mampan kepada bangunan hijau dan sekolah amanah.

"Lebih banyak lagi boleh ditawarkan oleh sukuk. Ia menggalakkan penggunaan pendekatan lestari dan baharu seperti membiayai penggunaan teknologi rendah karbon serta menyumbang kepada pertumbuhan kewangan peralihan," katanya.

Syed Zaid berkata, di Asia Tenggara, bon dan sukuk yang diterbitkan di bawah 'ASEAN Green, Social and Sustainability Bond Standards' berjumlah AS$16.7 bilion (RM69.41 bilion) dengan satu perlima terbitan itu adalah entiti Malaysia.

Beliau berkata, bagi Malaysia, kelestarian menjadi prinsip pasaran modal Islam, yang ditubuhkan kira-kira 30 tahun lalu.

Katanya, sepanjang tiga dekad itu, negara ini sudah merasai sendiri faedah pembiayaan dan pelaburan yang lestari.

"Oleh itu, kami terus memperkenalkan rangka kerja produk khusus dan garis panduan untuk menggalakkan inovasi produk lebih jauh lagi bagi menyediakan ekosistem SRI yang rancak," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties