News & Articles Tender projek MRT3 dibuka suku kedua 2022

Tender projek MRT3 dibuka suku kedua 2022


17 Nov 2021
Tender projek MRT3 dibuka suku kedua 2022
KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan tawaran tender bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) akan dibuka untuk bidaan bermula suku kedua 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata kerajaan masih dalam peringkat akhir perincian mengenai pelan pembiayaan MRT3.

Beliau berkata, perincian pelan pembiayaan ini dijangka dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini, sebelum dapat melaksanakan langkah seterusnya termasuk pembukaan tender.

"MRT Corp juga sebelum ini sudah mengemukakan permintaan untuk maklumat (RFI) kepada peserta industri bagi membolehkan mereka bersedia memandangkan proses tender kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini.

"Ketika ini, kami sudah menerima beberapa cadangan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) daripada pihak swasta berkenaan projek itu," katanya selepas taklimat MRT Laluan Putrajaya di sini, hari ini.

Mohd Zarif berkata, berhubung cadangan PFI, MRT Corp sudah menerima beberapa kertas kerja termasuk antaranya daripada Gamuda Bhd dan akan menilai kesemuanya secara menyeluruh.

MRT Corp juga, katanya akan mengemukakan semula keperluan dan spesifikasi yang diperlukan untuk projek MRT3 kepada syarikat terbabit.

"Pelaksanaan PFI akan menjadikan skim MRT3 tidak sama seperti pelaksanaan pembiayaan MRT1 dan MRT2, ia akan mempunyai struktur yang berbeza.

"Justeru, struktur PFI akan dimuktamadkan bersama dengan pelan pembiayaan," katanya.

Beliau menegaskan, MRT3 perlu digerakkan secepat mungkin kerana ia projek infrastruktur strategik bagi melonjakkan ekonomi negara.

"Projek sebegini sangat diperlukan terutama dalam situasi ekonomi negara ketika ini. Ia akan membolehkan industri berkaitan seperti pembinaan dan hartanah mendapat manfaat segera," katanya.

Mengenai kos pembinaan projek MRT3 ini pula, beliau berkata pihaknya masih tidak dapat memberikan anggaran kerana masih di peringkat awal.

Bagaimanapun, tegasnya kos pembinaan MRT3 masih kekal kompetitif dan tidak akan banyak berbeza dengan kos pembinaan MRT2.

Katanya, terdapat juga perubahan dari segi kaedah pembinaan projek mega itu yang bertujuan untuk menarik penggunaan dan pembangunan teknologi tempatan.

MRT Corp, katanya ingin memberi penekanan terhadap kaedah pembuatan pembinaan seperti penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) dan model bangunan bermaklumat (BIM) dalam projek itu.

"Kita mahukan projek MRT3 memberi impak kepada ekonomi secara keseluruhan dengan pembangunan menyeluruh sepanjang laluan.

"Sudah pasti, kita mahu rumah mampu milik dapat dibina selain kemudahan lain yang bersesuaian. Ia memberikan satu infrastruktur lengkap dengan kemudahan pengangkutan, kediaman dan perniagaan," katanya.

Penganalisis sebelum ini menganggarkan kos projek MRT3 adalah antara RM25 bilion hingga RM35 bilion.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"