Sime Darby Property catat pendapatan RM1.5 bilion
Kuala Lumpur: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.5 bilion pada sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9B TK2021), dan merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 9.1 peratus berbanding RM1.4 bilion yang dicapai dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pada tempoh berkenaan, ia mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM147.4 juta yang menandakan peningkatan kukuh berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM445.5 juta pada tempoh 9B TK2020.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) direkod sebanyak RM64.7 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, Syarikat kekal optimistik untuk melangkau sasaran jualan sebanyak RM2.4 bilion bagi TK2021, berlandaskan pencapaian jualan pada sembilan bulan pertama tahun ini serta jaminan tempahan sebanyak RM1.7 bilion setakat 7 November 2021.
"Kami telah menjana hasil jualan yang baik untuk Syarikat setakat ini dan akan terus melancarkan projek-projek di lokasi-lokasi dan titik harga yang strategik.
"Kami akan meneruskan momentum pencapaian purata kadar pembelian sebanyak 90 peratus di sektor produk perumahan baharu untuk baki tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Segmen Pembangunan Hartanah menyumbang sebanyak 92.8 peratus kepada jumlah pendapatan Syarikat yang menandakan peningkatan sebanyak 15.3 peratus daripada RM1.3 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
"Segmen ini juga merekodkan peningkatan PBT sebanyak RM187.4 juta berbanding LBT sebanyak RM433.7 juta pada TK2020.
"Peningkatan ini adalah hasil daripada jualan produk-produk perindustrian dan perumahan, serta kemajuan kerja-kerja pembinaan merentas pembangunan-pembangunan Sime Darby Property di sekitar Lembah Kelang dan Negeri Sembilan," katanya.
Menurutnya, pada 9B TK2021, segmen Pelaburan & Pengurusan Aset menyumbang pendapatan sebanyak RM71.4 juta yang menunjukkan peningkatan sebanyak 28.1 peratus tahun-ke-tahun, serta lonjakan PBT sebanyak RM11.8 juta berbanding RM2.3 juta pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan pendapatan ini adalah hasil sumbangan daripada KL East Mall yang juga pusat membeli-belah pertama dimiliki sepenuhnya oleh Sime Darby Property.
"Bagaimanapun, Segmen Leisure mencatatkan jumlah pendapatan dan LBT masing-masing sebanyak RM41.2 juta dan RM15.6 juta di mana ia terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Menurutnya, kedudukan kewangan Sime Darby Property kekal kukuh dengan baki tunai berjumlah RM618.9 juta dan nisbah hutang bersih pada kadar 32.1 peratus setakat 30 September 2021.
"Syarikat memiliki perolehan masa hadapan yang lebih tinggi untuk jangka masa lebih lama, ditunjangi oleh jualan belum dibil sebanyak RM2.1 bilion setakat ini.
"Nilai jualan belum dibil melangkaui RM2 bilion untuk kali pertama sejak tahun 2018, dan dijangka akan terus meningkat.
"Produk kediaman bertanah adalah penyumbang utama kepada pencapaian ini dengan jualan merangkumi 47.4 peratus daripada jumlah jualan yang dicapai oleh Syarikat, diikuti oleh kediaman bertingkat tinggi (23.1 peratus) dan produk-produk perindustrian (15.7 peratus)," katanya.
Dalam pada itu, Azmir berkata, pelancaran produk perumahan baharu oleh Syarikat pada tahun ini telah mencapai purata kadar pembelian sebanyak 90 peratus.
"Projek-projek bertanah Serenia Ariya telah meraih kadar pembelian 100 peratus manakala, Dayana dan Elmina Green Four A dan B mencapai 98 peratus kadar pembelian, serta Lyra 1, 2 dan 3 dengan 97 peratus.
"Bagi kategori kediaman bertingkat tinggi, Maya Ara Residences di Ara Damansara dan Jendela Residences di KLGCC Resort masing-masing telah mencapai kadar pembelian sekitar 90 peratus dan 70 peratus," katanya.
Menurutnya, purata kadar pembelian untuk produk perindustrian juga amat memberangsangkan dengan pelancaran kedua Twin Factories di Elmina Business Park yang meraih kadar pembelian sebanyak 100 peratus.
Source: Hmetro.com.my