News & Articles Jualan rumah privet baru menjunam 58% pada Dis 2021

Jualan rumah privet baru menjunam 58% pada Dis 2021


19 Jan 2022
Jualan rumah privet baru menjunam 58% pada Dis 2021
SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura menjunam 58 peratus pada Disember 2021 berbanding November tahun lalu selepas langkah-langkah baru dikuatkuasakan bagi meredakan pasaran hartanah tempatan.

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), para pemaju hartanah berhasil menjual sebanyak 650 unit pada bulan lalu berbanding 1,547 pada November, menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (17 Jan).

Termasuk 69 unit EC yang dijual pada Disember, penjualan merosot sebanyak 55.4 peratus.

Tempahan merosot sebanyak 46.6 peratus pada Disember 2021 berbanding tempoh yang sama setahun sebelum itu. Namun, penjualan pada 2021 mencecah paras tertinggi sejak lapan tahun lalu.

Para pemaju hartanah melancarkan penjualan bagi sebanyak 383 unit pada bulan lalu - tiada unit baru ditawarkan di luar kawasan tengah bandar (OCR). Sebanyak 109 unit dilancarkan di kawasan utama bandar (CCR) dan 274 unit di pinggir kawasan tersebut (RCR).

Jumlah tersebut 70 peratus lebih rendah berbanding 1,283 unit yang dilancarkan pada November.

Daripada 650 unit yang dijual pada Disember, 44.9 peratus terletak di RCR, 34.5 peratus di OCR manakala 20.6 peratus pula di CCR.

Antara projek-projek yang popular adalah: Mori (RCR), Normanton Park (RCR), Dairy Farm Residences (OCR), Leedon Green (CCR) dan Florence Residences (OCR), menurut Ketua Kajian dan Runding Cara Edmund Tie, Encik Lam Chern Woon.

LANGKAH MEREDAKAN PASARAN HARTANAH, TEMPOH HAMBAR HUJUNG TAHUN

Menurut para penganalisis, sebahagian daripada kemerosotan itu disebabkan oleh langkah-langkah yang dikuatkuasakan oleh Pemerintah pada Disember untuk meredakan pasaran rumah privet dan juga pasaran jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Langkah-langkah ini termasuk menaikkan kadar Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD), mengetatkan lagi Nisbah Pembayaran Hutang Keseluruhan (TDSR) dan juga Nisbah Antara Pinjaman dengan Nilai Hartanah daripada HDB.

"Pasaran hartanah terjejas selepas Pemerintah menguatkuasakan langkah-langkah untuk meredakan pasaran hartanah tempatan pada 16 Disember 2021," menurut Encik Lee Sze Teck, Pengarah Kanan Kajian Huttons Asia.

"Perayaan hujung tahun, persediaan untuk penggal sekolah yang baru dan percutian ke luar negara melalui laluan penumpang sudah divaksin (VTL) turut menyumbang kepada jumlah penjualan yang lebih rendah itu."

Naib Presiden Kanan Kajian dan Analitik OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun, turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

"Penjualan rumah baru merosot akibat langkah-langkah yang dikuatkuasakan mulai 16 Disember dan aktiviti-aktiviti penjualan pula lazimnya hambar pada hujung tahun," menurut Cik Sun.

Namun, beliau menarik perhatian bahawa kesan penuh langkah-langkah berkenaan belum lagi dapat disaksikan kerana kebanyakan perjanjian kontrak dimuktamadkan sebelum langkah-langkah tersebut dikuatkuasakan.

Penjualan rumah baru, tidak termasuk EC, meningkat 31.4 peratus pada 2021 jika dibandingkan dengan 2020, dengan sebanyak 13,118 unit terjual, ujar Cik Sun.

"Ini merupakan prestasi terbaik dalam tempoh selama lapan tahun," katanya.

Pada masa akan datang, jumlah dan harga dijangka 'tidak menentu' pada suku pertama sebelum permintaan kembali meningkat, menurut Ketua Kajian Knight Frank, Encik Leonard Tay.

"Kekurangan bekalan akan terus merangsang permintaan dengan sebanyak 17,140 unit tidak terjual di pasaran setakat suku ketiga 2021, merosot berbanding kira-kira 24,300 unit pada akhir 2020," tambah beliau lagi.

Encik Lee dari Huttons juga mengatakan bahawa penjualan mungkin kekal lemah semasa musim Tahun Baru Cina.

"Pada masa yang sama, para pembuat keputusan akan menimbangkan kesan daripada langkah-langkah yang dikuatkuasakan itu," tambahnya lagi.

Menurut Pegawai Eksekutif Utama ERA, Encik Eugene Lim, sebahagian besar permintaan tahun ini akan dipacu oleh para pembeli yang tidak terjejas oleh rejim ABSD.

Cik Sun menganggarkan kira-kira 8,000 hingga 9,000 rumah baru akan dijual pada 2022, manakala Encik Nicholas Mak, ketua kajian dan runding cara ERA pula mengunjurkan ramalan yang lebih tinggi.

"Jika pasaran pulih pada separuh kedua 2022, para pemaju masih boleh menjual kira-kira 9,000 hingga 10,000 unit rumah privet tahun ini," katanya.

Source: Berita.mediacorp.sg

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia