News & Articles Kempen Sia Sitok Sarawak Plus tawar 57 pakej pelancongan menarik

Kempen Sia Sitok Sarawak Plus tawar 57 pakej pelancongan menarik


17 Feb 2022
Kempen Sia Sitok Sarawak Plus tawar 57 pakej pelancongan menarik
KUALA LUMPUR: Kempen Sia Sitok Sarawak Plus, yang diperkenalkan Lembaga Pelancongan Sarawak dengan kerjasama Malaysia Airlines memberi peluang kepada individu menikmati keindahan dan menyingkap keajaiban tersembunyi di negeri terbesar Malaysia.

Lembaga Pelancongan Sarawak dalam satu kenyataan berkata, kempen pelancongan berkenaan menawarkan 57 pakej ke seluruh negeri Sarawak menerusi Journify dan pelbagai pakej pelancongan tergabung (termasuk penerbangan dan penginapan) dengan MHholidays.

"Tempoh tempahan adalah dari sekarang hingga 28 Februari, bagi tempoh perjalanan dari sekarang hingga 30 April 2022.

"Memandangkan hampir semua orang di Malaysia sudah menerima vaksin, sudah tiba masanya untuk kembali merancang "ke sana dan ke sini" dan meneroka beberapa permata tersembunyi di negara ini. Dalam usaha mencari permata percutian ini, tiada tempat yang lebih baik daripada negeri Sarawak di pulau Borneo yang penuh misteri.

"Menempatkan flora dan fauna antara yang paling sukar ditemui di dunia, suasana indah, keajaiban alam semula jadi, dan antara penduduk paling ramah di dunia, Sarawak menawarkan pengembaraan yang tiada tandingan," katanya.

Katanya, antara pakej pelancongan hebat yang boleh anda nikmati daripada kempen Sia Sitok Sarawak Plus adalah Kuching yang pelancong boleh merakit buluh menikmati pengalaman menyusuri Sungai Sirin di Kuching dengan rakit buluh, sambil melalui alur buluh dan hutan hujan menuju ke kampung Bidayuh di mana anda boleh menjamu selera dengan makanan tradisional seperti rotung, kubar, dan linut.

Sementara itu, mereka juga berpeluang melawat Kampung Sting yang digelar Kampung Atas Awan oleh penduduk tempatan, adalah sebuah kampung terpencil di Banjaran Bengoh, yang diibaratkan sebagai "Jurassic Park" Sarawak.

"Syurga keindahan alam semula jadi ini menempatkan air terjun, tasik dan persekitaran yang indah permai. Pengembara yang mahu menyertai aktiviti lebih mencabar boleh berjalan menyusuri Empangan Bengoh, untuk melihat pemandangan yang menakjubkan," katanya

Sementara itu di Sibu, pelancong berpeluang boleh menyelami budaya dan gaya hidup Melanau di Bumi Melanau yang menjanjikan keunikan budaya dan makanan tradisional.

"Perjalanan singkat menaiki bot laju menyusuri sungai Igan membawa anda ke bandar Dalat di mana anda boleh melihat sendiri bagaimana biji sagu diproses, dan cara membuat kuih kapit atau lebih dikenali kuih sepit di sini.

"Lawatan ke Kampung Tellian, sebuah kampung air Melanau, pasti membuatkan anda seronok mendengar cerita dongeng dan legenda penduduk tempatan, dan jika anda mahu melihat sesuatu yang benar-benar unik, saksikan bagaimana ulat sagu (lazat dimakan selepas dimasak) dikutip. Lawatan ke pasar tempatan membolehkan anda menjamu mata (dan membeli) hasil kraf tangan Melanau seperti Terendak," katanya.

Selain itu, mereka juga berpeluang menginap di rumah panjang di Sarikei, di mana Rumah Nyuka, dikelilingi kehijauan hutan hujan tebal dan deruan air terjun.

"Dibina pada tahun 1955, Rumah Nyuka dibuat daripada kayu belian (kayu keras tropika) yang tidak ditelan zaman. Kini, ia menjadi kediaman kira-kira 300 orang dari 45 keluarga," katanya.

Dalam pada itu di Miri pula, pelancongan boleh menikmati keindahan Taman Negara Mulu yang mana ibarat kembali ke zaman purba yang diselubungi keindahan puncak batu kapur, air terjun, sungai, dan rangkaian gua termasyhur dunia yang penuh dengan hidupan liar terpelbagai.

"Lawatan ke kawasan yang disenaraikan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO ini adalah satu kemestian jika anda mengunjungi Sarawak, sama ada anda mendambakan pengembaraan lasak atau sekadar ingin melihat sendiri satu daripada keajaiban alam semula jadi paling menakjubkan di Borneo," katanya.

Di Ba'Kelalan yang terletak di Tanah Tinggi Maligan, kira-kira 3,000 kaki di atas paras laut pula, pelancong berpeluang melawat himpunan sembilan kampung Lun Bawang.

"Penduduk di sini menanam pokok buah-buahan iklim sederhana termasuk epal, limau mandarin, dan vanila yang hidup subur dalam kedinginan iklim pergunungan. Ba'Kelalan juga terkenal dengan keluaran beras merah, hitam, dan putih semula jadi yang ditanam hanya sekali setahun.

"Penerangan ini hanya gambaran ringkas tentang keunikan Sarawak dan satu-satunya cara untuk menikmati pengalaman yang mencetus kenangan terindah ialah mengunjungi sendiri negeri yang dikenali sebagai Bunyi Kenyalang ini. Apa yang anda tunggu lagi?

"Untuk menerokai keunikan Sarawak. Kunjungi Journify di https://shop.myjournify.com/store/sia-sitok-sarawak-plus-339 untuk menempah pakej lawatan eksklusif dan dan layari https://holidays.malaysiaairlines.com untuk menempah penerbangan dan penginapan," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia