Bersedia bayar lebih untuk pinjaman
KUALA LUMPUR: Pengguna dan peminjam dijangka perlu membayar kadar faedah pembiayaan yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini jika Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sehingga 50 mata asas (bps) atau 0.5 peratus.
Ini kerana, apabila berlaku perubahan pada kadar OPR, maka sudah semestinya ia akan turut memberi kesan kepada pembiayaan yang dilakukan oleh mereka dengan bank.
Apabila OPR dinaikkan, maka pinjaman atau pembiayaan yang berasaskan kadar apungan akan meningkat sama dan menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah dan sebaliknya apabila kadar OPR turun.
Penganalisis Hartanah, Ahyat Ishak, berkata sebagai contoh, untuk pembiayaan perumahan sebanyak RM500,000 dengan tempoh 30 tahun pada kadar keuntungan 3.0 peratus, jumlah pembayaran setiap bulan ialah sebanyak RM2,108.
Namun apabila, OPR meningkat 50 bps, maka kadar keuntungan pembiayaan ini juga bertambah menjadi 3.5 peratus dan jumlah pembayaran meningkat kepada RM2,245, iaitu kenaikan RM137.
"Jadi adakah kenaikan ini suatu kos yang boleh ditanggung oleh seisi rumah di kala mereka menghadapi tekanan kewangan dari inflasi atau kos sara hidup yang meningkat," katanya kepada BH, ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
AmBank Research dalam nota kajiannya baru-baru ini menjangkakan BNM akan meningkatkan OPR sebanyak 50 bps, susulan langkah bank pusat itu dalam membendung inflasi.
Kenaikan sebanyak 50 bps akan menjadikan OPR kepada 2.50 peratus, selepas kenaikan 25 bps dibuat oleh BNM pada Mei lalu.
Sementara itu perunding kewangan bebas, Abuayubul Ansari, berkata dalam situasi semasa, segala kos akan bertambah, malah orang awam yang tidak membuat pinjaman pun akan terasa bahangnya kerana kos semua barang akan mula naik.
Katanya, ini kerana selain daripada pelbagai faktor, kos meminjam bagi perniagaan akan meningkat yang dengan sendirinya menjadi punca kepada kenaikan harga produk atau pun perkhidmatan.
"Ini secara tidak langsung menjadikan org awam akan mula merasai bahang. Jadi nasihatnya adalah sama saja seperti nasihat orang tua dulu-dulu, berjimat, jangan berbelanja berlebihan dan adakan simpanan.
"Bak pepatah ukur baju di badan sendiri, juga bila mahu beli barangan berharga tinggi, pastikan mempunyai deposit yang tinggi dan jangan meminjam lebih daripada empat tahun untuk kereta.
"Kalau rasa tak boleh, maksudnya kita belum mampu. Itu yang orang tua dulu cakap 'kumpul, kumpul dulu (duit) baru beli. Selain itu, perlu juga tahu cara mendapatkan pendapatan tambahan jika mahukan juga kemewahan dan perlu mula belajar mengenai kewangan," katanya.
Source: Bharian.com.my