News & Articles Sukar dapat pinjaman punca rumah tak dapat dijual

Sukar dapat pinjaman punca rumah tak dapat dijual


10 Aug 2022
Sukar dapat pinjaman punca rumah tak dapat dijual
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah melihat isu sukar mendapat pinjaman dalam kalangan bakal pembeli rumah menjadi antara faktor menyumbang kepada isu rumah siap tidak terjual.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk NK Tong, berkata rumah siap tidak terjual bukan isu baharu dan tidak mungkin akan dapat diselesaikan sepenuhnya.

Beliau berkata, setiap kali rumah baharu dibina pasti akan ada sebahagian yang tidak dapat dijual berikutan beberapa faktor termasuk isu pembeli yang sukar mendapat pinjaman bank, perkara yang kerap diketengahkan oleh REHDA.

"Banyak pemaju yang melaporkan bahawa walaupun pinjaman diluluskan, namun margin pembiayaan tidak ideal, seperti 70 peratus. Ia memberi kesan kepada keupayaan seseorang individu untuk membeli rumah, kerana deposit sebanyak 30 peratus serta bayaran lain yang perlu dibayar, adalah agak tinggi," katanya kepada BH.

Beliau berkata, perkembangan sedemikian menyebabkan ada pembeli yang terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk membeli rumah dan baki unit yang tinggal juga tidak menarik minat pembeli sehingga menyebabkan unit siap tidak dapat dijual.

"Namun, REHDA tidak menafikan bahawa COVID-19 telah memburukkan lagi keadaan pasaran hartanah dan juga ekonomi.

"Malah, sekarang ini negara masih lagi dalam mod pemulihan dan belum pulih sepenuhnya walaupun aktiviti perniagaan telah beroperasi sepenuhnya, termasuklah sektor pembinaan, penerbangan dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, Tong berkata, pandemik COVID-19 turut memberi kesan kepada rakyat dalam pelbagai aspek, termasuk dari segi kewangan kerana rakyat kini lebih berhati-hati untuk berbelanja terutamanya untuk perbelanjaan besar seperti pembelian rumah.

Beliau berkata, kadar inflasi yang meningkat turut menyebabkan pembeli lebih berhati-hati daripada biasa, dengan ada yang menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini, sekali gus memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat.

"Tidak dinafikan juga, harga rumah dalam pasaran terbuka semakin meningkat. Salah satu faktor utama kenaikan harga rumah berpunca daripada kaedah 'cross-subsidy' atau subsidi bersilang yang terpaksa digunakan oleh pemaju untuk membantu menampung kos pembinaan rumah kos rendah yang lebih tinggi dari harga jualan," katanya.

Dalam pada itu, Tong berkata, REHDA percaya inisiatif i-Miliki yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, selain insentif lain boleh membantu untuk mengatasi isu rumah tidak terjual.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa faktor yang menyumbang kepada wujudnya keadaan rumah siap tidak terjual turut perlu diberi perhatian supaya isu ini boleh diselesaikan dengan efektif.

"REHDA akan sentiasa menyokong sebarang usaha dan bekerjasama dengan kerajaan untuk memenuhi objektif pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia