Dua projek baharu PKNS tawar rumah bawah RM400,000
SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal melancarkan dua projek kediaman bertingkat baharu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM173 juta awal bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas, berkata dua projek itu masing-masing terletak di Seksyen 16, Shah Alam dengan GDV RM91 juta dan Seksyen 7 di Bandar Baru Bangi dengan GDV RM82 juta.
Katanya, bagi projek di Shah Alam, apartmen dua blok itu menawarkan sebanyak 232 unit pada harga di bawah RM400,000 seunit.
"Bagi di Bandar Baru Bangi pula, sebanyak 200 unit akan ditawarkan dengan harga juga adalah di bawah RM400,000 seunit.
"Dari segi keluasan, kedua-dua projek akan menawarkan keluasan lebih 900 kaki persegi yang mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara PKNS dengan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan- Runcit Bank Islam, Mizan Masram.
Menerusi MoU itu, PKNS bekerjasama dengan Bank Islam menawarkan kemudahan Pembiayaan Perumahan-i Bank Islam yang berdasarkan prinsip Tawarruq.
Dikhususkan untuk memudahkan pelanggan mendapatkan pembiayaan perumahan, sama ada untuk diduduki mahupun hartanah untuk pelaburan, Bank Islam menawarkan pelbagai pakej pembiayaan perumahan menarik untuk hartanah kediaman yang masih dalam peringkat pembinaan atau kediaman yang telah siap dibina.
Kemudahan pembiayaan perumahan yang disediakan Bank Islam adalah bertempoh sehingga 35 tahun atau sehingga usia pemohon mencecah 70 tahun, yang mana terdahulu.
Selain itu, margin pembiayaan ditawarkan adalah sehingga 90 peratus +10 peratus dan merangkumi perlindungan takaful seperti Takaful Gadai Janji (MRTT) atau Pelan Takaful Berkadar Rata Tempoh Gadai Janji (MLTT) serta Pelan Takaful Empunya Rumah dan Isi Rumah (HOT).
Ia turut meliputi, yuran guaman dan duti setem, di samping dikecualikan daripada yuran pemprosesan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.
Mengulas lanjut mengenai MoU itu, Mahmud berkata, PKNS cakna akan kebimbangan masyarakat untuk membeli kediaman ketika ini terutamanya dalam waktu ketidaktentuan ekonomi semasa dan pihaknya juga maklum akan kesulitan yang dihadapi untuk mendapatkan pembiayaan perumahan.
"Oleh itu, PKNS tangkas mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama bersama pihak perbankan untuk memudahkan proses pembiayaan dan menawarkan pakej yang berbaloi untuk merealisasikan impian pelanggan kami untuk memiliki kediaman idaman.
"Diharapkan melalui kerjasama ini, lebih ramai masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat memiliki kediaman yang mampu dimiliki, berkualiti dan terletak di lokasi strategik yang disediakan oleh PKNS, sebuah entiti pemaju yang terbukti prestasinya melalui pengalaman yang telah diraih selama 58 tahun penubuhan," katanya.
Sementara itu, Mizan berkata, pihaknya yakin dengan potensi yang ada pada pasaran hartanah negara terutamanya dengan peralihan ke fasa endemik yang memperlihatkan aktiviti ekonomi kembali aktif.
"Sehubungan itu, kami amat berbesar hati kerana dapat memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dengan PKNS menerusi penjanjian persefahaman ini," katanya.
Source: Bharian.com.my