Maybank pindah ibu pejabat ke Menara Merdeka 118
KUALA LUMPUR: Maybank mengumumkan bahawa ia akan memindahkan ibu pejabat korporatnya dari Menara Maybank di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur ke Menara Merdeka 118.
Ini berikutan majlis menandatangani perjanjian antara Maybank dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk perjanjian penyewaan bagi tempoh permulaan tiga tahun dan pembaharuan untuk enam penggal lagi selama tiga tahun setiap penggal, yang keseluruhannya berjumlah 21 tahun, di bangunan kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Dato' Khairussaleh Ramli berkata keputusan strategik untuk memindahkan ibu pejabatnya dibuat berikutan pertimbangan yang teliti dan terperinci mengenai keperluan operasi masa depannya.
Pertimbangan utama termasuk keperluan ruang kerja yang menyokong norma baharu dan memenuhi cita-cita kemapanan kumpulan perbankan terbesar negara itu.
"Di masa kami secara beransur-ansur menerima pengaturan kerja hibrid dan persediaan pejabat maya, kami secara sedar mahu memenuhi ruang kerja optimum dalam bangunan yang disokong oleh infrastruktur teknologi moden dan progresif alam sekitar, selaras dengan piawaian kemampanan global baharu dalam bangunan.
"Pertimbangan ini adalah penting kepada cita-cita kepimpinan kami dalam bidang pendigitalan dan kemampanan serta sesuai dengan keinginan kami untuk mempromosikan amalan baik dalam setiap aspek operasi kami," katanya dalam satu kenyataan bersama.
Beliau menambah bahawa Menara Merdeka 118 adalah yang paling sesuai dengan pertimbangan ini, terutamanya memandangkan status MSC dan aspirasi untuk mencapai piawaian Kelestarian Platinum.
Bangunan canggih yang diiktiraf di peringkat global ini juga dipilih kerana ia bersesuaian dengan kedudukan jenama global Maybank dan sejajar dengan aspirasinya untuk mengukuhkan lagi kepimpinan serantau dan antarabangsanya.
Menara Merdeka 118 dimiliki oleh anak syarikat milik penuh PNB iaitu PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata setelah Menara Merdeka 118 siap, ia akan menetapkan penanda aras industri baharu sebagai bangunan pertama di Malaysia yang menyasarkan untuk mencapai pensijilan platinum tiga kali ganda dalam Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan Hartanah Hijau (GreenRE).
"Dengan pensijilan platinum tiga kali ganda, Menara Merdeka 118 akan menjadi bangunan hijau terulung di Malaysia dan peneraju industri dalam kemampanan dalam reka bentuk, seni bina dan binaan.
"Sejarah kami sebagai rakyat yang merdeka bermula di sini. Merdeka 118 akan memberi penghormatan kepada sejarah kami dengan mengintegrasikan budaya, sejarah, komuniti dan perniagaan di dalam dan sekitar kawasannya."
"PNB berbesar hati mengalu-alukan Maybank sebagai penyewa utama Menara Merdeka 118, yang akan menjadi mercu tanda antarabangsa terbaharu Kuala Lumpur," katanya.
Beliau menambah, dengan jenama tempatan yang terkenal dan dibanggakan seperti Maybank, ia adalah edisi penting dalam melengkapkan visi Menara Merdeka 118 untuk menjadi ikon Malaysia yang sebenar di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Khairussaleh berkata sebagai sebahagian daripada penilaian untuk ibu pejabat baharu yang bermula pada 2019, pihaknya mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk membaik pulih Menara Maybank yang berusia 35 tahun, membina ibu pejabat baharu atau menyewa ruang pejabat dari bangunan baharu yang telah memenuhi keperluan operasi masa hadapannya.
"Kami mempertimbangkan kos-manfaat menaik taraf Menara Maybank untuk memenuhi antara lain kelebihan operasi dan kecekapan, dan piawaian kemampanan terkini.
"Untuk berbuat demikian, kami akan memerlukan pelaburan yang besar, apatah lagi kos penyelenggaraan dan keperluan untuk sementara menempatkan pejabat dan pekerja kami ke pelbagai lokasi di Lembah Klang. Selain itu, akan terdapat pelbagai risiko operasi dan gangguan perniagaan kepada pelanggan kami," katanya.
Katanya, memandangkan Maybank tidak terbabit dalam perniagaan pembangunan hartanah, pihaknya melihat ia berhemat untuk meneruskan pilihan penyewaan sambil menilai pilihan terbaik untuk ibu pejabat semasanya, Menara Maybank, yang dimilikinya dan sebahagian besarnya akan menjadi kosong dengan perpindahan ke Menara Merdeka 118.
Hasilnya, kedua-dua pihak telah memeterai perjanjian pajakan untuk tempoh 10 tahun secara asas bersih tiga kali ganda untuk Menara Maybank, serentak dengan perjanjian penyewaan Menara Merdeka 118.
Perjanjian itu ditandatangani hari ini oleh Ahmad Zulqarnain dari PNB dan Khairussaleh dari Maybank.
Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu ialah Pengerusi Kumpulan PNB Tun Arifin Zakaria dan Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.
Sebagai penyewa utama Menara Merdeka 118, Maybank telah ditawarkan hak penamaan dan papan tanda ke atas bangunan itu, yang akan meningkatkan kejelasan jenamanya di salah satu bangunan tertinggi di dunia.
Maybank akan mengambil sebanyak 33 tingkat dan dijangka menempatkan kira-kira 5,900 pekerja di bangunan baharu ini, yang boleh diakses melalui pintu masuk khusus untuk kemudahan pekerja, pelanggan dan pelawat.
Semua pejabat sedia ada di Menara Maybank akan berpindah ke bangunan baharu secara berperingkat mulai suku pertama 2025.
Walau bagaimanapun, Cawangan KL Main di Menara Maybank akan kekal dan tiada perubahan kepada pelanggan yang mempunyai akaun di cawangan ini.
Turut berpindah ke Menara Merdeka 118 adalah anak syarikat Maybank terpilih yang kini berpangkalan di Dataran Maybank termasuk Maybank Islamic, Maybank Investment Bank dan Maybank Asset Management.
Jumlah penghunian Maybank sebanyak 650,000 kaki persegi di Menara Merdeka 118 adalah kurang daripada keluasan bersih semasanya yang boleh disewakan di Menara Maybank iaitu 1.09 juta kaki persegi, selaras dengan strategi Maybank untuk menggunakan ruang kerja secara optimum dan bijak sambil mengutamakan langkah penjarakan sosial antara SOP lain, memandangkan penggunaan amalan kerja zaman baharu bekerja secara terpencil.
Kakitangan Maybank juga akan mempunyai akses kepada kemudahan yang dikongsi di dalam bangunan ini dan akses mudah kepada pengangkutan awam sekitar, yang menjadi perbincangan penting bagi bank dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan kakitangannya.
Perjanjian pajakan untuk Menara Maybank akan bermula pada suku terakhir 2025. Di bawah perjanjian asas bersih tiga kali ganda, PNB akan menjadi pemberi pajak induk Menara Maybank dan menanggung semua perbelanjaan berkaitan bangunan termasuk penyelenggaraan, insurans dan cukai.
Perjanjian pajakan itu membolehkan Maybank merealisasikan pendapatan sewa sambil menangguhkan pelupusan Menara Maybank ke satu tarikh yang lain di waktu pasaran hartanah semakin pulih, membolehkan Bank memaksimumkan nilai bangunan ini.
Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai keupayaan pengurusan hartanah yang berwibawa, PNB akan memanfaatkan kepakarannya untuk menguruskan Menara Maybank serta mencari penyewa baharu, bagi memastikan bangunan itu terus menjana pendapatan selepas perpindahan operasi Maybank.
Tambahan juga, perjanjian itu termasuk pilihan untuk menjual Menara Maybank sekiranya ia menguntungkan kedua-dua pihak.
Ahmad Zulqarnain berkata perjanjian pajakan itu adalah sebahagian penting daripada
perjanjian penyewaan Menara Merdeka 118.
"Pemajakan Menara Maybank adalah penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua pihak. Maybank mampu beralih daripada hartanah yang diduduki pemilik dan berpindah ke Merdeka 118 manakala PNB akan menjadi pengurus aset Menara Maybank sebagai sebahagian daripada portfolio hartanah teras domestiknya, yang kini berjumlah 40 aset di Malaysia dan 13 aset di peringkat antarabangsa."
Khairussaleh berkata Maybank menyempurnakan urus niaga gabungan perjanjian
penyewaan dan pajakan ini atas terma komersial yang adil dan munasabah serta saling berfaedah kepada Maybank dan PNB.
"Penilaian Maybank bukan sahaja terdiri daripada penilaian, semakan dan pertimbangan dalaman yang terperinci, yang dibawa ke peringkat tertinggi iaitu Jawatankuasa Audit Lembaga (ACB) dan Lembaga Pengarah itu sendiri, malah juga termasuk pandangan daripada dua penilai hartanah antarabangsa bebas iaitu Savills dan Knight Frank.
"Walaupun keperluan penyenaraian tidak memerlukan kami untuk melantik penilai bebas, ACB dan Lembaga Pengarah bagaimanapun meminta pandangan dua penilai bebas untuk membimbing mereka dalam membuat keputusan selaras dengan amalan tadbir urus yang baik dan untuk menjaga kepentingan pemegang saham minoriti," katanya.
Maybank akan membayar sewa kasar bulanan permulaan sebanyak RM10.60 sekaki persegi (psf) untuk enam tahun pertama, dengan pelarasan berikutnya untuk kos inflasi.
Ini diterjemahkan kepada kadar sewa efektif RM8.92 psf, yang lebih rendah daripada sewa kasar dan dalam kadar pasaran saksama RM8.48 psf dan RM8.93 psf seperti yang dinilai oleh penilai bebas.
Kadar sewa efektif bersih biasanya digunakan sebagai ukuran jangkaan pendapatan daripada penyewa.
Buat masa ini, ibu pejabat Maybank masih kekal di Menara Maybank di Jalan Tun Perak tanpa sebarang perubahan pada operasi dan perkhidmatannya. Bank akan membuat pengumuman yang sewajarnya kepada semua pihak berkepentingan dengan butiran yang berkaitan mengenai perpindahan ini setelah lebih hampir dengan tarikh perpindahan pada 2025.
Source: Bharian.com.my