TNB dapat permintaan pemaju rumah sedia tenaga pintar, RE
KUALA LUMPUR: Beberapa pemaju hartanah utama menyatakan minat dan telah mengadakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk menjadikan tenaga pintar serta tenaga boleh baharu (RE) sebagai sumber utama elektrik bagi kediaman dan bangunan komersial.
Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata ketika ini menunjukkan komitmen berterusan pemaju hartanah untuk bersama-sama TNB merealisasikan hasrat beralih ke arah tenaga pintar dan RE seiring dengan hasrat kerajaan.
Katanya, minat yang ditunjukkan beberapa pemaju hartanah itu adalah selepas langkah S P Setia Bhd menjalin kerjasama strategik dengan TNB baru-baru ini.
"Pemaju hartanah semakin melihat kepentingan penggunaan tenaga pintar dan RE dalam setiap projek hartanah masa hadapan mereka.
"Selepas kerjasama strategik dengan S P Setia baru-baru ini, kami telah mendapat permintaan daripada beberapa pemaju hartanah.
"Ketika ini masih dalam perbincangan. Selain pemaju hartanah utama, TNB juga ingin membawa lebih banyak pemaju hartanah berskala sederhana dan kecil untuk bersama-sama dalam projek tenaga pintar dan RE ini kelak," katanya selepas majlis pemasangan solar fotovoltaik (PV) pertama S P Setia di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai.
S P Setia sebelum ini menjadi pemaju hartanah pertama menyatakan komitmen lestari berskala besar dalam pembangunannya menerusi cadangan bagi semua unit kediaman dan komersialnya.
TNB pula menyediakan penyelesaian tenaga pintar dan RE sebagai sumber utama elektrik masa hadapan kepada bakal pembeli kediaman dan bangunan komersial yang dibangunkan syarikat pemaju hartanah itu.
Megat Jalaluddin berkata, TNB juga berharap kerajaan akan terus membantu dan menyediakan pelbagai kemudahan baharu dalam pembangunan tenaga pintar, RE dan hijau terutamanya melalui Bajet 2023.
"TNB ada mengemukakan beberapa cadangan terutamanya membabitkan tenaga pintar, RE dan hijau kepada kerajaan untuk Bajet 2023," katanya.
Sementara itu, Kai Wai berkata kerjasama yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) bukan hanya membabitkan pemasangan sistem solar PV di atas bumbung, malah turut merangkumi persediaan pemasangan penyelesaian bateri dalam projek pembangunan kediaman dan komersial serta pembinaan sistem pengecasan bagi projek S P Setia akan datang.
Beliau berkata, komitmen hijau syarikat itu membuktikan sokongan ke arah agenda nasional untuk mencapai sasaran negara neutral karbon menjelang 2050.
Katanya, TNB akan menyokong projek dengan penyelesaian tersedia iaitu solar PV yang akan mengurangkan dan menjimatkan penggunaan tenaga, ketersediaan bateri untuk menyimpan tenaga solar, selain ketersediaan kenderaan elektrik (EV) merangkumi pembinaan infrastruktur pengecasan untuk menyokong mobiliti hijau.
"Kerjasama dengan TNB ini akan menyaksikan projek pembangunan hartanah S P Setia dilengkapi dengan solar, bateri dan kemudahan serta sokongan EV bermula dengan sebahagian projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion tahun ini.
"Ia juga akan membantu S P Setia untuk mengoptimumkan kos dalam usaha untuk membangunkan projek hartanah dengan tenaga lestari. Secara tidak langsung, menjadikan projek hartanah kami terus berdaya saing, moden, terkini dan berkualiti," katanya.
Source: Bharian.com.my