IJM Land hampir capai sasaran jualan RM3 bilion
KUALA LUMPUR: IJM Land Bhd menyasar untuk meraih jualan RM3 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023, dipacu terutama daripada projek pembangunan bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai, berkata setakat ini pemaju hartanah itu telah merekodkan jualan RM1.7 bilion dan kini berada dalam landasan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
Beliau berkata, pada tahun kewangan 2022 lalu, pemaju hartanah itu berjaya merekodkan jualan RM2.5 bilion rekod tertinggi pernah dicapai.
Katanya, walaupun baru menyertai IJM Land, beliau menyasar untuk mencatatkan jualan lebih baik pada tahun kewangan semasa berbanding tahun kewangan sebelumnya.
"Antara faktor pemacu kepada jualan kami ialah pelancaran pembangunan bercampur dan bersepadu yang akan menjadi keutamaan IJM Land untuk projek hartanah selepas ini, dengan Pantai Sentral Park, di Kuala Lumpur menjadi projek mercu untuk pembangunan sedemikian.
"Projek lain termasuk projek antarabangsa kami di London dan Australia juga akan menjadi penyumbang utama kepada jualan untuk tahun kewangan ini.
"Ketika ini, kami sedang meninjau peluang membeli tanah berpotensi di London memandangkan projek semasa iaitu Royal Mint Gardens hampir siap dibangunkan," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Tuck Wai dilantik menerajui IJM Land pada 1 Julai lalu. Beliau sebelum ini ialah Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SP Setia Bhd dari 2016 hingga 2021.
Mengulas lanjut, Tuck Wai berkata, projek hartanah IJM Land di London berjaya menarik perhatian banyak pihak, sekali gus menyebabkan jenama dan kepakaran mereka kini dikenali dan diperakui.
"Justeru, kami merasakan ini masa terbaik untuk memulakan projek lain di London supaya terus mengembangkan jenama di sana.
"Selain itu, kami akan terus meninjau peluang dan potensi di negara lain yang mana jika ada, kami akan melaksanakannya kerana memang strategi kumpulan untuk terus mengembangkan kehadiran antarabangsa," katanya.
Tuck Wai berkata, beliau juga merancang untuk menggiatkan pembangunan hartanah bercampur mengguna pakai nisbah 60 peratus kediaman dan 40 peratus komersial yang terdiri daripada pejabat dan runcit di projeknya di Pantai Sentral Park.
"Nisbah ini bagaimanapun bukan tetap untuk mana-mana pembangunan kerana jika di bandar, ia adalah sesuai. Namun, untuk di kawasan perbandaran lain seperti di Rimbayu, Selangor dan Seremban 2 di Negeri Sembilan, Nisbah 70:30 adalah lebih sesuai," katanya."
Ditanya mengenai masalah hartanah kediaman siap yang tidak terjual, Tuck Wai berkata, IJM Land menyasarkan untuk mengurangkan jumlahnya kepada kira-kira RM314 juta pada tahun kewangan.
"Pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 jumlah kediaman siap tidak terjual kami RM1.5 bilion. Namun, jumlah ini berjaya dikurangkan kepada RM700 juta pada tahun kewangan berikutnya.
"Untuk tahun kewangan ini, kami sasar mengurangkan jumlah ini kepada RM314 juta dan setakat ini telah mencapai 50 peratus daripada sasaran ini," katanya.
Source: Bharian.com.my