Jualan rumah 2022 melebihi tahun sebelum pandemik
KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah kediaman kembali pulih tahun lalu apabila merekodkan 181,167 transaksi pada sembilan bulan pertama 2022, naik 34.6 peratus berbanding tempoh sama 2021.
Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International Sdn Bhd, Sulaiman Saheh, berkata angka itu mengatasi tahun 2019, iaitu sebelum pandemik melanda yang menunjukkan pasaran hartanah kediaman kembali memulih.
"Walaupun pasaran masih mencabar dan sentimen berhati-hati akan berterusan tahun ini, kami menjangkakan sektor hartanah Malaysia adalah lebih stabil dan pulih secara beransur-ansur.
"Kini, kita tertumpu pada pembentangan semula Belanjawan 2023 dengan harapan insentif dan inisiatif yang akan mendorong pertumbuhan pasaran hartanah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran laporan pasaran hartanah tahunan bertajuk 'Rahim & Co Research: Property Market Review 2022/2023', di sini, hari ini.
Laporan itu mengkaji pasaran hartanah bagi setiap negeri dalam Malaysia.
Yang turut hadir. Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman, Pengarah Penilaian, Chee Kok Thim dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Harta Tanah, Siva Shanker.
Sulaiman berkata, sektor kediaman menyaksikan pertumbuhan positif yang berterusan sepanjang tiga suku pertama tahun lalu.
Katanya, jumlah jualan oleh pemaju di pasaran primer yang membentuk 18.5 peratus daripada keseluruhan transaksi sektor ini adalah seiring dengan pendekatan pemaju yang mengambil langkah berhati-hati melancarkan projek baharu.
"Dengan sokongan Inisiatif Pemilikan Rumah Malaysia i-MILIKI yang menyediakan pengecualian duti setem untuk pembeli rumah kali pertama yang layak, ditambah dengan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) untuk pemilik individu, sektor kediaman dijangka stabil pada tahun ini dengan potensi pertumbuhan yang beransur-ansur.
"Kemampuan pemilikan rumah kekal menjadi salah satu isu utama di samping dilema stok rumah siap tidak terjual atau 'overhang' selain pertimbangan untuk membeli atau menyewa dalam kalangan bakal pembeli.
"Di sebalik pelbagai insentif dan skim bantuan kewangan disediakan untuk membantu meringankan beban kewangan pembeli rumah kali pertama, kebimbangan mengenai 'overhang' masih kekal walaupun untuk unit yang berharga mampu milik, dengan bilangan unit kediaman dalam pembinaan dan yang baru disiapkan berterusan," katanya.
Beliau berkata, bagi sektor komersial, cabaran yang dihadapi adalah bagi memenuhi kehendak pengguna yang berubah dengan perkembangan trend digital dan e-dagang.
"Sektor pejabat masih berdepan dengan isu penawaran ruang yang tinggi berbanding permintaan yang menyebabkan tekanan kepada kadar penghunian dan kadar harga sewa.
"Namun, prestasi sektor ini memperlihatkan perbezaan mengikut jenis bangunan dan lokasi. Pasaran di lokasi pinggir bandar atau 'decentralised location' yang mempunyai jaringan pengangkutan baik, berdekatan dengan sumber tenaga pekerja dan kemudahan lebih kontemporari mendapat kadar permintaan yang masih menggalakkan," katanya.
Beliau berkata, bagi sektor ruang-niaga dan peruncitan, permintaan oleh pengguna sudah kembali dengan penawaran ruang yang masih menghadapi tekanan penghunian.
"Pemansuhan penjarakan sosial dan sekatan perhimpunan fizikal memberi dorongan kepada pengguna untuk kembali ke pusat membeli-belah pilihan mereka.
"Bagaimanapun, kadar penghunian sektor ini juga masih menampakkan tekanan bagi pasaran keseluruhan," katanya.
Source: Bharian.com.my