News & Articles Pembaziran urus pembangunan Putrajaya cecah RM812 juta

Pembaziran urus pembangunan Putrajaya cecah RM812 juta


16 Feb 2023
Pembaziran urus pembangunan Putrajaya cecah RM812 juta
PUTRAJAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 mendapati berlaku pembaziran dalam pengurusan pembangunan Putrajaya berjumlah RM812.91 juta setakat 31 Disember 2021.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata pembaziran itu membabitkan penangguhan projek monorel di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM797.18 juta, termasuk penyenggaraan terowong pengangkutan awam itu bernilai RM2.16 juta.Beliau berkata, tahap penawaran perkhidmatan bas adalah rendah, manakala depoh bas di Presint 14 bernilai RM12.21 juta tidak digunakan.

Katanya, penggunaan infrastruktur 'Park & Ride' tidak mengikut tujuan asal bernilai RM1.36 juta.

Katanya, dapatan audit mendapati tiga daripada enam mod pengangkutan yang disasarkan belum digunakan iaitu tream dan pengangkutan air.

"Infrastruktur bagi empat daripada enam mod pengangkutan siap dibangunkan, namun hanya tiga mod pengangkutan digunakan sepenuhnya.

"Pembangunan infrastruktur monorel belum siap sepenuhnya manakala infrastruktur bagi mod pengangkutan trem belum dibangunkan.

"Penangguhan projek monorel menyebabkan sistem pengangkutan bersepadu belum tercapai dan menjadi pembaziran sekiranya infrastruktur dibangunkan tidak dimanfaatkan," katanya dalam sidang media LKAN itu di sini, hari ini.

LKAN memaklumkan, sistem berasaskan rel yang dicadangkan adalah sistem transit aliran ringan (LRT) dengan laluan bawah tanah tetapi ditukar kepada monorel pada Jun 1997.

Bagaimanapun, Jabatan Audit Negara tidak dapat mengesahkan justifikasi pertukaran projek LRT kepada monorel kerana tiada dokumen sokongan diperoleh.

Laporan itu menyebut, pelaksanaan projek monorel membabitkan dua laluan iaitu Laluan 1 sepanjang 13.2 kilometer (km) manakala Laluan 2 sepanjang enam km dengan stesen monorel sudah dibina di Terminal Putrajaya Sentral Presint 7 tetapi belum siap sepenuhnya.

"Lawatan fizikal Audit pada 16 Ogos 2022 mengesahkan sebahagian infrastruktur seperti kerangka asas terowong, tiang bagi landasan dan jambatan untuk monorel sudah dibina.

"Kerja-kerja pembinaan infrastruktur monorel ditangguhkan pada 2004. Pihak Audit tidak dapat mengesahkan justifikasi penangguhan projek monorel itu kerana tiada dokumen sokongan diperoleh," katanya.

Nik Azman berkata, sasaran 281,500 penduduk di Putrajaya pada 2020 tidak dicapai.

Beliau berkata, sebanyak 22,452 daripada 35,000 unit kuarters yang disasar, berjaya dibina oleh Putrajaya Holdings (PjH) bagi kemudahan penjawat awam manakala status pembinaan baki 12,548 unit kuarters belum ditetapkan.

Shingga 31 Disember 2021 katanya, seramai 17,847 penjawat awam masih dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters.

"Penyediaan kemudahan tempat letak kenderaan tidak selaras dengan pembangunan perumahan penjawat awam Malaysia yang berkepadatan tinggi.

"Ruang lantai kasar bagi ruang komersial sedia ada belum digunakan sepenuhnya dengan aktiviti perdagangan.

"Sebanyak 50 peratus daripada 0.13 juta meter persegi ruang komersial dimiliki PjH di Nusa Perdana belum terjual atau disewa," katanya.

Berikutan itu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) mengkaji semula pelan pembangunan supaya dapat diselaraskan dengan perubahan konsep pembangunan Putrajaya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia