LBS catat pendapatan tertinggi dalam sejarah
PETALING JAYA: LBS Bina Group Bhd (LBS) mencatatkan keputusan paling kukuh dalam sejarah apabila meraih pendapatan RM1.72 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Dalam satu kenyataan, LBS berkata pendapatan kumpulan melonjak 26 peratus tahun kewangan 2022 berbanding RM1.37 bilion yang dicatatkan setahun lalu.
LBS turut mencatat peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) 17 peratus lebih tinggi kepada RM134.48 juta bagi tempoh dikaji daripada RM114.92 juta.
"Meskipun berhadapan dengan cabaran global, ketidakstabilan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi, LBS mengekalkan prestasi yang positif ini daripada campuran produk LBS terutama bagi segmen rumah mampu milik selaras dengan tiga matlamat syarikat iaitu mampu milik, kesinambungan dan komuniti.
"Prestasi cemerlang tahun kewangan 2022 turut disokong oleh gabungan strategi pemasaran kreatif yang sihat dan berdaya saing. LBS juga terus komited untuk menawarkan ganjaran dan manfaat menarik kepada pembeli rumah menerusi Kempen LBS Fabulous Extra dengan hadiah cabutan bertuah bernilai RM1.5 juta," katanya.
Dari segi pembangunan hartanah, Lembah Klang kekal sebagai salah satu faktor penyumbang pendapatan utama LBS iaitu melebihi 84 peratus daripada hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2022.
Menurut LBS, kenaikan itu didorong oleh kadar pengambilan yang baik dan perkembangan kemajuan pembinaan yang stabil di beberapa projek utama LBS seperti di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, dan projek Rumah Idaman MBI.
Bagi suku keempat tahun kewangan dalam tinjauan, LBS melaporkan pendapatan sebanyak RM372.76 juta.
Di samping itu, PAT dan keuntungan selepas cukai serta kepentingan bukan kawalan masing-masing adalah sebanyak RM28.33 juta dan RM25.65 juta.
LBS berkata, pemaju hartanah itu memiliki 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5.7 bilion dan bank tanah seluas 2,970 ekar.
"Jualan belum dibil direkodkan sebanyak RM2.40 bilion dijangka memberikan pulangan positif kepada syarikat bagi tempoh dua ke tiga tahun ke hadapan," katanya.
Mengulas mengenai prestasi kewangan, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata syarikat itu sekali lagi melepasi jangkaan dan menutup tirai 2022 dengan kukuh sekali gus meletakkannya pada kedudukan yang stabil bagi 2023.
"Satu penghormatan bagi LBS kerana berpeluang untuk menyaksikan pemulihan pasaran hartanah, dan kami menjangkakan keyakinan pasaran akan bertambah baik pada 2023. LBS turut menyasarkan 12 projek baharu dengan GDV sebanyak RM2.09 bilion pada suku akan datang.
"Prestasi kewangan LBS dilihat kekal berdaya tahan seperti peningkatan pendapatan pada tahun 2022. LBS berjaya melepasi sasaran jualan 2022, sebanyak 25 peratus iaitu dari sasaran awal RM1.6 bilion kepada RM2.0 bilion.
"Ini adalah bukti kepercayaan dan keyakinan pembeli rumah kami menerusi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.
Hock San berkata, LBS akan terus meningkatkan kecekapan operasi bagi menambah baik margin keuntungan seiring dengan kemampanan perniagaan untuk jangka masa panjang.
"LBS juga akan memberi fokus kepada prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) untuk nilai jangka panjang bagi memacu pertumbuhannya dalam pasaran hartanah," katanya.
Source: Bharian.com.my