News & Articles Mah Sing rekod jualan RM1.2 bilion separuh pertama 2023

Mah Sing rekod jualan RM1.2 bilion separuh pertama 2023


28 Aug 2023
Mah Sing rekod jualan RM1.2 bilion separuh pertama 2023
KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd meraih jualan hartanah kukuh pada separuh pertama tahun ini sebanyak RM1.2 bilion, 20 peratus lebih tinggi berbanding RM1 bilion yang dicatatkan pada 2022.

Momentum jualan kukuh pemaju hartanah tempatan itu pada enam bulan pertama 2023 dan pelancaran hartanah baharu dijangka meletakkannya pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan setahun penuh sekurang-kurangnya RM2.2 bilion.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata momentum jualan kumpulan kukuh didorong terutamanya oleh kadar pengambilan yang kukuh untuk pembangunan Siri M.

Katanya, dengan memberi tumpuan dalam menawarkan produk yang memenuhi permintaan pasaran pada harga yang menarik, susun atur praktikal, ciri yang direka dengan baik dan terletak di lokasi yang strategik, ia dijangka memacu jualan kukuh kepada kumpulan.

"Kedudukan unik kami dalam segmen mampu milik digabungkan dengan penawaran produk kami yang berbeza dikenali sebagai 'Luxury You Can Afford' membantu meningkatkan jualan kami yang belum dibilkan kepada RM2.34 bilion, keterlihatan pendapatan masa depan Mah Sing.

"Dengan lebih banyak pelancaran baharu yang dirancang untuk separuh kedua 2023, kumpulan yakin dapat memenuhi sasaran jualan setahun penuh minimum RM2.2 bilion," katanya.

Pelancaran hartanah Mah Sing pada suku kedua 2023 termasuk Fasa 2B M Senyum di Salak Tinggi, Jasmine of Meridin East di Johor Bahru dan Fasa 2 M Panora di Rawang.

Pelancaran baharu yang akan datang dalam perancangan termasuk M Minori di Johor Bahru, fasa masa depan M Senyum di Salak Tinggi, Meridin East di Johor Bahru, M Panora di Rawang dan M Sinar, Southville City di Bangi.

Sementara itu, pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023, Mah Sing mencatatkan perolehan kukuh dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 25.5 peratus kepada RM75 juta dan pendapatan naik 18.9 peratus kepada RM644.2 juta berbanding suku sama tahun lalu.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, kumpulan meraih pendapatan dan PBT masing-masing sebanyak RM1.29 bilion dan RM150.8 juta berbanding RM975.2 juta dan RM115.8 juta setahun lalu.

Mah Sing mengekalkan kunci kira-kira yang teguh dengan kira-kira RM929.7 juta tunai dan baki bank serta pelaburan dalam dana jangka pendek.

Hoy Kum berkata, profil kewangan dan kecairan yang kukuh membolehkan pertumbuhan pesat dengan penambahan simpanan tanah yang berterusan.

Katanya, disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh dan dipacu pengambilan projek Siri M yang positif, kumpulan akan terus mengejar lebih banyak pengambilalihan untuk membangunkan rumah kediaman mampu milik dan mengembangkan portfolio pembangunan perindustriannya.

"Pada separuh pertama 2023, kumpulan memperoleh empat bidang tanah, khususnya M Terra dan M Hana di Puchong, M Tiara di Johor Bahru, Glengowrie Estate di Semenyih dan M Zenya di Kepong.

"Pengambilalihan ini secara kolektif menambah sehingga anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5 bilion. Kami secara aktif berusaha untuk menambah simpanan tanah kami di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor untuk membangunkan hartanah kediaman dan perindustrian," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia